Jakim bangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA- Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dalam usaha memperkasakan lagi pensijilan halal.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, inisiatif yang dibangunkan dengan kos RM3.4 juta itu mempunyai enam sistem iaitu MYeHALAL (domestik), MYeHALAL (antarabangsa), Sistem Cetakan Sijil Elektronik, Lembaga Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa Malaysia, (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).

"Contohnya melalui MyIHAB, Jakim dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara, daripada 46 buah negara yang diiktiraf.

"Insya-ALLAH, melalui perancangan yang dijangka bermula pada tahun 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui sistem ini," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 secaya maya, pada Selasa.

Menurutnya, Jakim pada Oktober tahun lalu telah berjaya memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065, menjadikan Halal Malaysia sebagai Badan Pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.

"Akreditasi ini memberikan impak bukan sahaja kepada produk-produk yang telah dipersijilkan, bahkan turut menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan halal yang lebih baik," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jakim juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.

"Ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal secara langsung daripada Jakim," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, bagi memperkasakan rantaian halal ekosistem daging import, Jakim dengan kerjasama agensi akan melaksanakan tiga mekanisme antaranya produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang disyaratkan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan.

"Produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori pengangkutan dan prosedur mandatori pembungkusan semula yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan," katanya.

Ujarnya, inisiatif tersebut penting bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.

Ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara.

Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 pula berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman pensijilan halal Malaysia.