8 daripada 10 pekerja di Malaysia harap bonus tahunan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lapan daripada 10 pekerja yang berpangkalan di Malaysia atau 83 peratus, mengharapkan bonus setiap tahun, dengan purata antara satu dan dua bulan gaji, kata Pengarah Negara Randstad Malaysia, Ryan Carroll.

Beliau berkata pekerja mengharapkan mereka dihargai atas sumbangan dan kesetiaan kepada organisasi, terutama jika kekal bersama majikan mereka walaupun berlaku perubahan politik utama dan transformasi perniagaan.

"Walaupun 98 peratus daripada responden dalam tinjauan ini bersetuju bahawa menerima bonus sangat penting, 59 peratus berkata ia bukanlah satu-satunya faktor yang akan membuat mereka mula mempertimbang kemungkinan menukar pekerjaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Caroll berkata terdapat gabungan faktor-faktor yang mendorong pekerja setia untuk meninggalkan syarikat itu.

"Penyelidikan jenama majikan 2018 kami mendapati alasan utama yang diberikan untuk mengundur diri adalah kerana laluan kerjaya yang terhad.

"Syarikat yang mendapat manfaat daripada tenaga kerja yang tekun adalah mereka yang terus menyediakan peluang untuk kakitangan masing-masing untuk membangun dan berkembang dalam organisasi," katanya.

Beliau berkata walaupun pembayaran bonus mungkin merupakan jangkaan yang saksama dalam keadaan ini, pekerja juga harus memikirkan peningkatan diri mereka untuk membuktikan nilai masing-masing.

"Ini akan membantu mereka kekal relevan dan boleh bekerja, selain membolehkan mereka memajukan kerjaya dengan lebih cepat," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: