X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Neitzel 'turun' pangkat

Neitzel mula membimbing Selangor FC pada awal musim ini.
A
A

[DIKEMASKINI] BEKAS pengendali Selangor FC Karsten Neitzel akan kekal bersama skuad Gergasi Merah sebagai penolong ketua jurulatih pasukan utama menjelang musim 2022.

Selangor FC dalam kenyataan pada Isnin mengesahkan figura kelahiran Jerman yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya ke-54 bulan depan, akan terus menjadi tonggak penting dalam barisan kejurulatihan.

"Pemahaman beliau tentang keberadaan pasukan dalam melaksanakan falsafah bola sepak dan gaya permainan yang diterapkan oleh kelab, amat bernilai dalam meneruskan projek pembangunan dan membantu ketua jurulatih pasukan utama mencapai tahap yang lebih tinggi.

"Selangor FC mengucapkan selamat maju jaya kepada Karsten (Neitzel) dan percaya kerjasama beliau bersama Michael Feichtenbeiner akan membuahkan hasil yang mampu membawa kejayaan kepada kelab dalam masa terdekat," menurut kenyataan itu.

Sabtu lepas, juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu mengumumkan pelantikan Michael Feichtenbeiner yang juga merupakan Pengarah Sukan Selangor FC sebagai ketua jurulatih baharu pasukan utama menggantikan Neitzel.

Pengumuman itu dibuat dalam tempoh 48 jam selepas Selangor FC disingkirkan Kuala Lumpur City FC di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021 dengan keputusan agregat 3-0 pada Khamis lepas.

Neitzel yang dilantik sebagai ketua jurulatih pada November tahun lepas menggantikan B. Sathianathan, membimbing Selangor FC menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga kelima.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Selangor FC turut mengumumkan bekas pemain pasukan itu, Mohd Nidzam Jamil sebagai penolong ketua jurulatih skuad utama untuk musim 2022.

"Kami berbesar hati mengalu-alukan kepulangan Nidzam yang menghabiskan sebahagian besar karier bola sepak profesionalnya bersama Selangor, sebagai sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan, di mana kami percaya dia boleh maju dan terus berkembang.

"Selain itu, kelab percaya pengalaman dan kredibiliti beliau akan membuatkan beliau menjadi ahli penting yang boleh membimbing kami memperoleh kejayaan masa depan," menurut kenyataan itu.

Jurulatih kelahiran Kajang, Selangor itu membuat penampilan sulung dalam jersi skuad Gergasi Merah pada Mac 2000 menentang musuh tradisi Kuala Lumpur dan penampilan terakhirnya menentang lawan sama pada September 2004.

Mohd Nidzam memulakan kerjaya kejurulatihannya bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) FC dari 2010-2014 dan membimbing pasukan menjuarai saingan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2012.

Selain SPA FC, beliau turut pernah menggalas tugas jurulatih bersama AirAsia FC dan Felda United FC. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!