Mansuh pemberian kediaman kepada bekas PM

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan memansuhkan pemberian hadiah kediaman kepada bekas Perdana Menteri.

Justeru, Mahfuz (PH-Pokok Sena) berkata, semakan terhadap Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 (pindaan 2013) perlu dilakukan.

Katanya, pemberian hadiah itu adalah sesuatu yang tidak wajar kerana sepatutnya kebajikan rakyat yang menjadi keutamaan kerajaan.

"Kalau dikatakan (hadiah) ini berasaskan peruntukan (dalam akta), saya minta peruntukan itu dimansuhkan.

"Bayangkan pada penggal ini, kita dah ada tiga Perdana Menteri. Adakah kita nak luluskan dan berikan peruntukan kepada ketiga-tiga Perdana Menteri ini seorang RM100 juta," soalnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 peringkat jawatankuasa di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum ini, isu peruntukan kediaman bernilai RM100 juta kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh kerajaan mengikut Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980 (pindaan 2013) itu menjadi kontroversi panas.

Ia selepas Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) pada Khamis lalu membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Rakyat.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keesokannya Najib mengumumkan beliau menolak tawaran peruntukan kediaman oleh kerajaan kepadanya itu.

Mengulas lanjut, Mahfuz menegaskan, kerajaan juga perlu menjelaskan alasan mengapa kabinet Keluarga Malaysia memperuntukkan hadiah berkenan kepada Ahli Parlimen Pekan.

"Bantuan yang kerajaan salurkan untuk sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat, sekolah pondok sebanyak RM1.4 juta sahaja walaupun ia libatkan jumlah penerima manfaat yang ramai.

"Namun untuk bekas Perdana Menteri yang sudah ada segala-galanya, kerajaan boleh terfikir untuk luluskan RM100 juta," ujarnya.