Sila log masuk terlebih dahulu.

Projek inovasi bekalan air bersih di Pitas

Adham Baba.- Foto fail Bernama
Adham Baba.- Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk membangunkan inisiatif pencarian bekalan air bersih menggunakan teknologi inovatif demi manfaat rakyat khususnya di kawasan luar bandar antaranya di Pitas.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, usaha itu bertujuan memperkasa penggunaan teknologi supaya permasalahan dalam komuniti dapat diselesaikan secara lestari ke arah meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup rakyat di luar bandar secara inklusif seiring semangat Keluarga Malaysia.

Mengambil contoh projek pencarian inovasi berasaskan bekalan air bersih di Kampung Sapatalang, Pitas, Dr Adham berkata Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam merealisasikan usaha itu demi manfaat penduduk kampung.

“YIM dan UMS mengenal pasti masalah bekalan air bersih dihadapi penduduk kampung disebabkan punca mata air sering tersumbat. Projek ini melibatkan inovasi teknologi kejuruteraan dan sosial bagi membolehkan kemudahan ini dibekalkan kepada masyarakat kampung,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pelaksanaan projek inovasi yang dijalankan selama lima bulan itu dilihat dapat membantu masyarakat setempat memperoleh sumber air bersih dan secara tidak langsung meningkatkan produktiviti serta kualiti hidup.

Dalam usaha memastikan bekalan air bersih berterusan, projek itu turut melibatkan penambahbaikan kepada sistem penapisan air bersih, selain membangun dan menaik taraf sistem bekalan air dari sumber mata air iaitu air bawah tanah serta tangki simpanan di kawasan tadahan.

Sementara itu, Taufiq dalam kenyataan berasingan berkata, projek itu akan memberi manfaat kepada 100 penduduk kampung terbabit, yang selama ini tidak mempunyai infrastruktur bekalan air bersih dan hanya bergantung kepada air hujan, sungai atau anak sungai sebagai sumber air.

Beliau berkata, penyelidik UMS Profesor Madya Dr Jidon Adrian akan mengetuai pasukan projek itu bagi membantu penduduk sekitar mendapatkan bekalan air bersih menggunakan inovasi sumber air daripada mata air di kawasan kampung tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kemudahan telah disediakan di kawasan tadahan mata air iaitu penapis dan tangki simpanan air. Projek Inovasi Air Bersih ini turut ditempatkan di dewan masyarakat yang juga dewan serba guna untuk kegunaan penduduk setempat,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif YIM Sharmila Mohamed Salleh berkata, YIM melantik UMS sebagai rakan kolaborasi strategik bagi melaksanakan projek berkenaan bermula 1 Februari hingga 31 Julai lepas dengan peruntukan RM60,000.

Sabah adalah negeri paling banyak mendapat bantuan dana untuk projek inovasi daripada YIM iaitu sebanyak 32 projek bernilai RM5 juta hingga 2020. - Bernama