Tanda sokongan rakyat kembali kepada BN, UMNO: Mahdzir

Mahdzir berucap pada Pelancaran UniKL Ministerial Talk Series sempena lawatan rasmi ke UniKL MIAT Kampus Subang di Jalan Lapangan Terbang Subang hari ini. Foto Bernama
Mahdzir berucap pada Pelancaran UniKL Ministerial Talk Series sempena lawatan rasmi ke UniKL MIAT Kampus Subang di Jalan Lapangan Terbang Subang hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekali gus dapat membentuk kerajaan menunjukkan sokongan rakyat kembali kepada parti itu, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Terima kasih orang Melaka yang telah memberikan sokongan kepada BN, nampak satu tanda dinamik dalam politik selepas empat tahun, sokongan rakyat telah kembali kepada UMNO dan BN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Simulasi Penerbangan, Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) dan Siri Pertama Bicara Menteri dekat Subang pada Isnin.

Keputusan PRN Melaka menyaksikan BN terdiri daripada gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Ditanya cadangan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya mempertimbangkan untuk menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kemenangan selesa BN di PRN Melaka, Mahdzir berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kepimpinan tertinggi parti dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.