X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Isu kediaman RM100 juta: Najib terus disindir pembangkang

Najib Tun Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Walaupun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan menolak tawaran kediaman bernilai RM100 juta, namun beliau terus disindir pembangkang di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau memahami semangat hutang budi dibawa mati, namun pemberian itu merupakan beban kepada negara.

Bahkan, beliau percaya bekas-bekas Perdana Menteri yang lain tidak akan menuntut pemberian sedemikian daripada kerajaan.

"Dari pengalaman saya mengenali tokoh seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman (Putra Al-Haj) dan Tun Abdul Razak (Hussein), mereka tidak perlukan dana dan mereka berkhidmat kerana kasihkan kepada negara.

"Ini berbeza dengan yang lain-lain, jadi minta menteri beri penjelasan apa yang berlaku. Kita tahu perkara ini ada di bawah peruntukan undang-undang tetapi mengapa jemaah menteri boleh bersetuju dengan mudah kemudahan-kemudahan ini walaupun jemaah menteri itu sebahagian besarnya daripada parti-parti Melayu dan Islam," katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 peringkat jawatankuasa mesyuarat Dewan Rakyat.

Mohamad Sabu (PH-Kota Raja) yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) turut memberi sindiran pedas ketika mencelah perbahasan Anwar.

Anwar mengajukan soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. Foto Bernama
Anwar mengajukan soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. Foto Bernama

"Memandangkan jasa Perdana Menteri yang lalu, boleh tak Ketua Pembangkang bersetuju dengan saya (agar) Tunku Abdul Rahman diberi pampasan RM1 bilion sebab beliau adalah bapa kemerdekaan dan Tun Razak sebab bapa pembangunan kita bagi RM500 juta.

"Tun Hussein Onn pula bapa perpaduan cukuplah RM300 juta, Tun Mahathir (Mohamad) bapa pembangunan moden dan 22 tahun menjadi Perdana Menteri, kita beri imbuhan RM2 bilion, Tun Abdullah Ahmad Badawi (RM200 juta) dan Najib (RM100 juta).

"Biar negara bankrap pun tak apa tapi imbuhan kepada bekas yang berkhidmat ini begitu penting," kata beliau.

Najib pada Jumaat lalu mengumumkan beliau menolak tawaran peruntukan kediaman bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya.

Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas isu berkenaan dipolemik oleh pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Jika rakyat tidak selesa, saya boleh tarikh balik permohonan kediaman seperti dibenarkan di bawah Akta Kerajaan pada 2018 itu. Permohonan ini sebenarnya berdasarkan Akta Saraan Bekas Perdana Menteri 1980, akta berkenaan sudah dipinda dan diubah suai serta diperbaiki pada tahun 2013," katanya.

Sehari sebelum itu, pada sidang Parlimen, Tun Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) membangkitkan bagaimana isu hadiah itu tidak disebut dalam belanjawan negara dan meminta Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi penjelasan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!