PM lancar Pas Keluarga Malaysia

Ismail Sabri (tengah) ketika melancarkan pas Keluarga Malaysia bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam. - Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) ketika melancarkan pas Keluarga Malaysia bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan pas Keluarga Malaysia bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam.

Menurutnya, pas yang dikeluarkan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu membolehkan empat individu dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga cuma RM15.

"Ini bermakna setiap seorang di dalam kumpulan ini hanya membayar RM3.75 untuk menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan Bas Rapid Transit(BRT) di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.

"Inisiatif pengenalan pas Keluarga Malaysia ini bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat-pusat beli belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor," katanya dalam ucapan Perasmian pas tersebut di Kuala Lumpur Sentral pada Isnin.

Pas Keluarga Malaysia itu akan mula dijual pada 1 Disember ini.

Beliau turut percaya kemudahan pengangkutan awam yang efisien dan ketersambungan adalah penting bagi mobilisasi Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa Prasarana, menerusi anak syarikatnya Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan menawarkan Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mulai bulan Mac tahun depan.

"Menerusi pakej ini, sejumlah 20 lot perniagaan, bersaiz antara 80 hingga ke 400 kaki persegi di beberapa laluan akan ditawarkan kepada pengusaha IKS secara cabutan lot. Mereka yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selama setahun termasuk pengecualian sewa selama tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan pengusaha IKS untuk mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar dapat melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia," katanya.

Pakej transit tersebut akan melibatkan stesen Laluan Kelana Jaya iaitu stesen Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.