Polis buka 37 kertas siasatan sepanjang PRN

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Polis Melaka membuka 37 kertas siasatan sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berakhir pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Majid Mohamad Ali berkata, daripada jumlah itu sebanyak 19 kertas siasatan yang dibuka membabitkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) manakala 18 lagi merupakan kesalahan membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Menurutnya, sebanyak sembilan kompaun berjumlah RM120,000 telah dikeluarkan kepada pelbagai parti kecuali parti Bebas di sepanjang tempoh PRN Melaka.

Beliau berkata, sepanjang tempoh bermulanya PRN Melaka sehinggalah pengumuman keputusan, tidak ada insiden yang menggugat ketenteraman awam yang dilaporkan.

"Penguatkuasaan undang undang dan prosedur operasi standard (SOP) akan menjamin kesihatan awam dan pada masa sama ia menyuburkan proses demokrasi.

"Ini merupakan kejayaan agensi penguatkuasaan untuk memastikan kesihatan awam terkawal dan melalui penguatkuasaan undang-undang yang adil kita berjaya membendung penularan Covif-19," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, di Bukit Beruang pada Isnin.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, sekiranya terdapat mana-mana mana pihak yang mendakwa penguatkuasaan undang-undang yang dilaksanakan itu menghalang proses demokrasi, tanggapan itu sebaliknya tidak benar tetapi ia sebenarnya menyuburkan proses demokrasi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penghargaan dan pujian harus diberikan kepada rakyat Melaka kerana mereka matang dan hebat serta tidak terbawa bawa dengan sentimen politik, sebaliknya lebih mementingkan kesihatan awam dan keselamatan.

"Jadi di PRN Melaka, rakyat mendahulukan kesihatan awam dan undang-undang daripada kepentingan politik, rakyat Melaka sememangnya hebat dan matang," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN:[LAPOR LANGSUNG] PRN Melaka: BN menang 21 DUN, PH 5, PN 2