Sulaiman mulakan tugas sebagai Ketua Menteri Melaka

Sulaiman (kiri) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama beliau bertugas sebagai Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Isnin.
Sulaiman (kiri) mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama beliau bertugas sebagai Ketua Menteri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Isnin.

Beliau yang tiba di pejabatnya di tingkat empat bangunan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada jam 8.25 pagi dan disambut kira-kira 20 kakitangan pejabat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu kemudian mengimbas kad perakam waktu buat kali pertama dan menghadiri majlis bacaan doa ringkas yang diketuai Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Abd Halim Tawil.

Sementara itu, Sulaiman ketika ditemui pemberita berkata, beliau mahu memberikan tumpuan utama untuk meneruskan tugas, amanah serta mandat yang diberikan rakyat seperti dijanjikan sebelum ini.

Sulaiman ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Sulaiman ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Menurutnya, amanah diberikan bukanlah satu tugas mudah, lebih-lebih lagi selepas diberi kepercayaan rakyat yang mahukan pentadbiran politik dan ekonomi di Melaka stabil.

"Besar dari segi ujian serta kemahuan dan kehendak rakyat harus kita kotakan.

"Apa yang terkandung dalam manifesto kerajaan Barisan Nasional (BN) akan saya laksanakan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sulaiman sebelum ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 selepas BN menang besar dan berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lalu.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di Dewan Seri Utama Ayer Keroh pada awal pagi Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN:Tiada kemelut, BN zahirkan sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka

ARTIKEL BERKAITAN:'Angkat sumpah awal, boleh jalankan tugas lebih awal'