Terpulang pucuk pimpinan gunakan model kejayaan BN di Melaka

Ab Rauf Yusoh
Ab Rauf Yusoh
A
A
A

MASJID TANAH - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyerahkan kepada pucuk pimpinan sama ada ingin menggunakan model parti itu sehingga membawa kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Jelasnya, 86 peratus muka baharu yang ditonjolkan dalam PRN itu ternyata membuahkan hasil sekali gus menjadi model terbaik buat parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

"Sewaktu membuat kajian, keperluan memberikan peluang kepada muka-muka baharu dalam PRN, semua perkiraan diambil kira.

"Ia bagi menzahirkan pemimpin muda memimpin kepimpinan parti nanti tatkala karier politik mereka menjangkau 20 tahun daripada hari ini.

"Ibu pejabat mengenal pasti tokoh muda yang diketengahkan, sebahagian daripada 86 peratus muka baharu ini adalah tokoh anak muda mempunyai kepakaran dan pencapaian akademik masing-masing.

"Rakyat sanggup bersama-sama formula diberikan pucuk pimpinan BN dan diterjemahkan pada hari semalam (Sabtu) dan terbukti telah dapat sokongan rakyat dengan 21 daripada 28 calon BN dipertandingkan," jelasnya.

Tambah Ab Rauf, beliau juga berterima kasih kepada rakyat Negeri Melaka yang menunjukkan sokongan kepada parti itu dalam menerajui negeri berkenaan.

"Model ini boleh digunakan dalam PRU, terserah pucuk pimpinan dengan model yang ditunjukkan BN Melaka," jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di kediamannya di sini pada Ahad malam.

Barisan Nasional (BN) berjaya menawan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 28 kerusi yang ditandingi parti itu. - Awani