Tiada kemelut, BN zahirkan sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka

Rauf (tengah) semasa sidang akhbar di kediamannya pada Ahad.
Rauf (tengah) semasa sidang akhbar di kediamannya pada Ahad.
A
A
A

ALOR GAJAH - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan desas-desus terhadap kemelut dalaman parti gabungan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, semua ketua bahagian UMNO di Melaka menyokong sepenuhnya pelantikan ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.

“Itu sebab saya panggil sidang akhbar hari ini (Ahad). Dapat dimaklumkan bahawa kami tidak ada masalah dan kemelut.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kesemua kami ketua bahagian akan berikan sokongan penuh kepada Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka.

“Ia bagi memastikan bahawa kepercayaan yang diberikan adalah kepentingan bersama dari kami setiap pelusuk akar umbi UMNO Melaka,” katanya semasa sidang akhbar di kediamannya di Tanjung Bidara di sini pada Ahad.

Menurutnya, pelantikan Sulaiman selaku Ketua Menteri menunjukkan kepercayaan rakyat negeri itu terhadap BN.

Tambah Rauf, beliau dan ADUN lain akan bekerjasama untuk membentuk kerajaan yang stabil dan makmur.

“Kami akan bantu dan sokong Sulaiman bentuk kerajaan yang stabil dan kemakmuran rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my