Tragedi Hawk: Mejar Fareez beransur pulih, masih terima rawatan

Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM dilaporkan sudah beransur pulih. - Gambar fail Awani
Mejar Mohd Fareez Omar yang cedera dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 milik TUDM dilaporkan sudah beransur pulih. - Gambar fail Awani
A
A
A

SEBERANG JAYA - Mejar Mohd Fareez Omar, 33, yang cedera dalam nahas pesawat pejuang Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan sudah beransur pulih.

Bapa Mohd Fareez, Omar Deros, 62 tahun memaklumkan anaknya yang cedera di bahagian tulang belakang selamat menjalani pembedahan dan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

''Alhamdulillah, anak saya sudah beransur pulih selepas menjalani pembedahan tulang belakang hari itu, buat masa ini dia hanya terbaring saja, dia juga sudah boleh makan dan minum.

"Saya berharap kesihatannya akan segera pulih seperti sedia kala," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Jumaat lepas, Bahagian Perhubungan Awam TUDM memaklumkan Mohd Fareez kini berada di dalam pemantauan pegawai perubatan dan masih memerlukan rawatan susulan.

Selain itu, TUDM juga memaklumkan uusan kebajikan isteri serta dua anaknya yang masing-masing berusia tiga tahun dan lima bulan juga akan dikoordinasi oleh Pangkalan Udara Butterworth.

Dalam kejadian jam 10.07 malam Selasa minggu lepas, sebuah pesawat Hawk 108 yang dikendalikan Mohd Fareez dan Kapten Mohamad Affendi Bustamy terhempas di pangkalan udara Butterworth.

Insiden itu menyebabkan juruterbang, Kapten Mohamad Affendi, terkorban manakala Mohd Fareez mengalami kecederaan.

Artikel Berkaitan:

Kejadian berlaku ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Jenazah Kapten Mohamad Affendi selamat dikebumikan di Muadzam, Pahang, pada Rabu. - Awani

ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat TUDM terhempas

ARTIKEL BERKAITAN:Pesawat TUDM terhempas: Seorang terkorban, seorang cedera - Hishammuddin

ARTIKEL BERKAITAN:Kali terakhir pesawat Hawk Mk 108 terhempas pada 2017