Menang pun kena lakukan 'post mortem': Tok Mat

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan besar dua pertiga majoriti bagi membentuk kerajaan negeri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Command Center Barisan Nasional (BN). -Foto fail Bernama
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan BN meraikan kemenangan besar dua pertiga majoriti bagi membentuk kerajaan negeri Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Command Center Barisan Nasional (BN). -Foto fail Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) akan melakukan 'post mortem' dalam masa terdekat berhubung prestasi parti berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah PRN Melaka BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, 'post mortem' itu bertujuan membuat penilaian selain merangka tindakan pada masa hadapan sebagai usaha memperkukuhkan BN di peringkat negeri dan seluruh negara.

"Saya sudah arahkan 'war room' (bilik perang) saya buat 'case study' (kajian kes), macam-macam 'case study'. Kita dalam berperang ini macam-macam medan tempur yang kita lalui dan medan tempur itu bukan seragam, ada medan tempurnya begitu, begini.

"Coraknya ada pelbagai-bagai corak dan apa yang hendak dikaji adalah keberkesanan jentera kita kalau berhadapan misalnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) berlainan sebab kepelbagaian ini berbeza-beza antara tempat," katanya dalam sidang akhbar selepas selesai Majlis Perasmian Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, pihaknya sebelum ini berhadapan dengan pelbagai keadaan dan situasi, namun ia dijadikan penilaian bagi menggariskan strategi dan langkah yang perlu diambil pada masa hadapan.

"Jadi keadaan-keadaan ini kita kutip dan diambil untuk dijadikan sebagai uji kaji. Jika ini berlaku semula apa langkah kita seterusnya dan kita tak mahu orang kata 'jatuh terduduk'.

"Alhamdulillah...kita menang banyak di PRN Melaka kerana kita dapat menyesuaikan keadaan pada ketikanya," katanya yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pihaknya turut mengambil isu-isu yang boleh dijadikan sebagai teladan sekali gus memberi contoh yang boleh diikut.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga perlu kikis daripada kebiasaan kita. Ini penting dan bukannya apabila kalah baru buat 'post mortem' malah sudah menang juga kita kena buat 'post mortem'," katanya.

Pada Sabtu BN menang besar selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan BN berjaya menawan 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my