PN masih ada potensi dalam PRU15: Rosol

Rosol (kanan) melihat buah melon manis Terengganu yang sudah sedia dituai hasilnya di Kampung Peradong, di sini pada Ahad.
Rosol (kanan) melihat buah melon manis Terengganu yang sudah sedia dituai hasilnya di Kampung Peradong, di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Perikatan Nasional (PN) masih mempunyai potensi untuk meraih sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) walaupun tewas kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, pada Sabtu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid berkata, jangkaan itu berdasarkan kemampuan PN mengekalkan prestasi di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selain peningkatan jumlah undi.

“Saya nampak PN masih mengekalkan prestasinya iaitu dua kerusi DUN, maknanya kami tidak kalah dan tidak menang kerana sebelum ini meraih dua kerusi DUN. Kali ini pun sama, malah undi PN turut meningkat.

“Walaupun parti baru berusia lima tahun, mahu bersaing dengan UMNO yang sudah 60 tahun tetapi mampu memberikan saingan misalnya di DUN Tanjung Bidara, yang perbezaan undi kurang daripada 500.

“Ini bermakna PN masih mempunyai potensi berdasarkan prinsip integriti, telus dan perkhidmatan berjiwa rakyat yang telah diberikan,” katanya mengulas keputusan PRN Melaka yang menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata demikian selepas melawat ladang tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Pusat Pengumpulan Hasil Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Kampung Peradong, Manir, di sini pada Ahad

Melalui keputusan PRN Melaka yang diumumkan pada Sabtu, PN melalui gabungan bersama Pas dan Gerakan sekadar menguasai DUN Sungai Udang dan Bemban daripada 28 kerusi yang ditandingi, berbanding sebelum ini kerusi Teluk Mas dan Paya Rumput.

Kata Rosol, PRN Melaka juga tidak boleh menjadi kayu pengukur kepada prestasi PN pada PRU15 akan datang berikutan beberapa faktor termasuk peratusan keluar mengundi yang begitu rendah dan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu berharap semua rakan pakatan dalam PN bekerja lebih kuat bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Setakat ini tiada isu Bersatu nak kembali atau tidak kepada UMNO sebagaimana cadangan segelintir pihak kerana parti itu sendiri masih tidak konsisten dan mempunyai masalah dengan kepimpinan,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my