Ku Li saran pinda Perlembagaan beri keutamaan undi percaya

Tengku Razaleigh Hamzah ketika dalam ucapan sesi dialog dalam program anjuran Persatuan Graduan-graduan British Malaysia di kediamannya pada Sabtu.
Tengku Razaleigh Hamzah ketika dalam ucapan sesi dialog dalam program anjuran Persatuan Graduan-graduan British Malaysia di kediamannya pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan kerajaan agar meminda Perlembagaan supaya Dewan Rakyat memberi keutamaan dalam memutuskan undi percaya terhadap Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut beliau, saranan tersebut merupakan salah satu daripada reformasi yang dicadangkan beliau bagi mengelakkan krisis yang dihadapi negara pada hari ini seterusnya dapat menyelesaikan isu berkaitan ekonomi dan sosial.

“Kita perlu meminda Perlembagaan bagi memperuntukkan supaya Dewan Rakyat memberi keutamaan untuk memutuskan undi percaya kepada Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong dikehendaki memanggil Dewan Rakyat untuk menentukan sama ada ahli Parlimen yang dilantik sebagai Perdana Menteri itu dapat sokongan majoriti daripada wakil rakyat mengikut Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan sesi dialog dalam program anjuran Persatuan Graduan-graduan British Malaysia (BGAM) di kediamannya pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden BGAM, Datuk Kamarudin Md Ali; bekas Presiden BGAM, Tun Mohammed Hanif Omar dan bekas Presiden BGAM, Datuk Dr Low Bin Tick.

Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan supaya meminda peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat melibatkan susunan Aturan Urusan Mesyuarat.

Menurutnya, ia susulan pengalaman lalu Dewan Rakyat menunjukkan bahawa budi bicara sahaja tidak mencukupi untuk memuaskan kebimbangan negara terhadap isu-isu yang penting.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, adalah dicadangkan agar Perlembagaan atau perintah tetap mesyuarat dipinda untuk mewujudkan kewajipan supaya Speaker membentangkan di hadapan Dewan Rakyat mengenai apa-apa perkara yang mendesak dan berkait dengan kepentingan negara yang diminta oleh sekurang-kurangnya 50 wakil rakyat.

“Speaker tidak boleh menggunakan apa-apa budi bicara dalam keadaan ini.

“Perkara-perkara yang mendesak dan kepentingan negara hendaklah merangkumi apa-apa persoalan berhubung keyakinan terhadap Perdana Menteri serta ahli-ahli Parlimen,” katanya.