13 atlet para bawa cabaran di Bahrain

Megat D Shahriman - Foto Bernama
Megat D Shahriman - Foto Bernama
A
A
A

MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) akan menghantar seramai 13 atlet berbanding 30 yang berada dalam senarai awal untuk bertanding pada Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021, yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Disember di Manama, Bahrain.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pengurangan bilangan kontinjen yang akan berangkat pada 28 November itu adalah disebabkan protokol pemilihan atlet yang ketat oleh pihaknya dan Majlis Sukan Negara (MSN) ekoran pandemik Covid-19.

“Beberapa atlet terpaksa digugurkan kerana prestasi tidak memenuhi kriteria diperlukan untuk acara sukan yang dianjurkan dan ada juga atlet dan kakitangan kami yang disahkan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media MPM mengumumkan perkembangan terkini mengenai Sukan Para Asia (APG) 2022 di Hangzhou, China, AYPG 2021 dan pembatalan Sukan Para ASEAN 2021, di sini pada Sabtu.

Di Bahrain, kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam enam jenis sukan iaitu olahraga, badminton, boccia, renang, pingpong dan powerlifting.

Malaysia menyertai AYPG sejak edisi pertamanya di Tokyo pada 2009 dan menjadi tuan rumah pada edisi 2013. - Bernama

Artikel Berkaitan: