KFA sangkal kenyataan Alistair

Akhyar berhijrah ke JDT pada penghujung tahun 2018.
FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Akhyar berhijrah ke JDT pada penghujung tahun 2018. FOTO: FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menyangkal kenyataan Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards yang menyatakan KFA tidak berhak untuk mendapat pampasan bagi kos latihan dan pembangunan bekas pemainnya, Akhyar Rashid.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron, kenyataan itu adalah tidak benar kerana perkara berkenaan ditetapkan melalui Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya ambil maklum berkenaan satu hantaran media sosial di Johor Southern Tigers yang dikeluarkan Pengarah Teknikal JDT FC, Alistair Edwards bertarikh 19 November 2021.

"Walaupun pertikaian antara KFA dan Akhyar berhubung kontrak pemain telah pun diputuskan dan selesai, KFA masih lagi berhak menuntut pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar daripada JDT melalui Jawatankuasa Rayuan FAM.

"Untuk makluman Alistair, beberapa isu perlu dipertimbangkan melalui kesemua kronologi berkaitan kes KFA dan Akhyar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) dan kes KFA dan JDT di Jawatankuasa Rayuan FAM,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Khamis lalu, Presiden KFA, Datuk Seri Sanusi Md Noor mendakwa JDT masih belum menjelaskan pampasan yang sepatutnya dibayar kepada KFA berhubung perpindahan kontroversi Akhyar ke kelab berkenaan pada 2018.

Susulan itu, dalam kenyataan balasnya, Alistair memaklumkan JDT bersetuju membayar RM100,000 sebagai yuran pembangunan, namun cek bertarikh 31 Disember 2018 itu telah dipulangkan KFA yang mahu membuat rayuan kepada AIAC.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu, kenyataan Alistair yang mengatakan KFA tidak berhak mendapat pampasan bagi kos latihan dan pembangunan Akhyar adalah tidak benar sama sekali.

Artikel Berkaitan:

"Ini berikutan berlakunya proses perbincangan dan KFA masih menunggu satu tawaran pampasan bersesuaian daripada JDT yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.

"Setiap tindakan yang diambil KFA berhubung perkara ini adalah berdasarkan kepada nasihat guaman dan KFA akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut dari masa ke semasa.

"Alistair diminta untuk menyemak semula segala fail dan memahami setiap keputusan berkaitan kes berkenaan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan," ujarnya.