X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Nikah guna sindiket boleh akibatkan perkahwinan tidak sah

Ahmad Marzuk Shaary
A
A

KOTA BHARU - Perkahwinan menggunakan khidmat sindiket nikah dibimbangi tidak dijalankan mengikut hukum syarak seterusnya boleh menyebabkan perkahwinan itu tidak sah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) perkahwinan yang jelas, justeru pasangan pengantin seharusnya memilih kaedah yang telah disahkan.

“Sindiket nikah tiada autoriti untuk melaksanakan perkahwinan, masyarakat di luar sana yang tidak arif dengan prosedur perkahwinan akan menganggap apa yang dilakukan sindiket nikah adalah betul sedangkan ia tidak betul.

“Jika SOP perkahwinan tidak diikuti dengan betul, maka perkahwinan itu tidak sah. Perkara ini perlu diambil berat oleh pasangan yang ingin berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Serahan Program TH Prihatin Negeri Kelantan di Lembaga Tabung Haji Kelantan di sini pada Sabtu.

Beliau mengulas mengenai seruan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kepada pasangan yang bernikah menggunakan khidmat sindiket 'Lebai Lah' dari Kuala Krai supaya tampil menghubungi jabatan berkenaan.

Langkah tersebut dibuat untuk mengesahkan sama ada pendaftaran pernikahan mereka sah mengikut hukum syarak atau sebaliknya berikutan penahanan bekas imam itu pada 28 Oktober lepas.

Sementara itu, Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa meminta masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga murah untuk menunaikan ibadah umrah.

“Masyarakat juga perlu memilih ejen berdaftar supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Umrah ini di bawah kelolaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). MOTAC telah meletakkan harga lantai umrah ialah RM6,900 dan harga itu yang paling murah,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!