Ringgit dijangka terus susut berbanding dolar AS minggu depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT dijangka meneruskan penurunan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan berikutan ketiadaan pemangkin pasaran tempatan selain pengukuhan mata wang negara maju itu.

Penyelidikan oleh Hong Leong Bank mengunjurkan trajektori meningkat dolar AS berlanjutan selama seminggu lagi susulan kebimbangan inflasi dan jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed).

Menurutnya, padanan mata wang itu ditutup pada 4.1820 pada Khamis, meningkat 0.27 peratus minggu ke minggu, selepas didagangkan di antara 4.1580 dengan 4.1830 sepanjang lima sesi dagangan terakhir.

“Kami kekal neutral-kepada-kenaikan bagi prospek dolar AS berasaskan jangkaan bahawa mata wang negara maju itu masih kukuh, dengan sedikit pemangkin domestik untuk mendorong pergerakan ringgit,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit mengakhiri minggu ini dengan prestasi lemah susulan data ekonomi AS yang kekal positif.

Beliau berkata, ini menunjukkan naratif kenaikan kadar faedah lebih awal mungkin memperoleh momentum selanjutnya.

Selain itu, peningkatan kes Covid-19 di Eropah juga dijangka mewujudkan situasi enggan ambil risiko dan ini mendorong permintaan terhadap mata wang selamat, iaitu dolar AS, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, bagaimanapun, ringgit dilihat disokong baik ekoran dolar AS terus bergelut untuk melepasi paras rintangan serta-merta RM4.1862.

Artikel Berkaitan:

“Unit tempatan mungkin disokong oleh perbezaan kadar faedah lebih tinggi iaitu Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia pada 1.75 peratus berbanding Kadar Dana Persekutuan AS sebanyak 0.25 peratus di samping pembukaan semula ekonomi yang akan menambah baik prospek pertumbuhan.

“Pada tahap tertentu juga, mata wang tempatan turut disokong oleh harga minyak mentah Brent yang kekal pada paras tinggi pada masa ini,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, justeru, pihaknya mengunjurkan ringgit terus berada dalam julat RM4.17 hingga RM4.19 minggu depan.

Berasaskan mingguan, mata wang tempatan susut berbanding dolar AS kepada 4.1810/1850 pada Jumaat daripada 4.1645/1665 ketika ditutup minggu lepas.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0702/0736 daripada 3.0757/0776 pada minggu lepas dan naik berbanding euro kepada 4.7249/7295 daripada 4.7646/7669.

Namun, ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.6675/6714 daripada 3.6521/6542 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.6147/6200 daripada 5.5783/5810. - Bernama