‘Jangan bersalam, berbual, jaga jarak’

Petugas SPR melakukan persiapan sempena PRN Melaka di Pusat Daerah Mengundi DUN Asahan di Sekolah Kebangsaan Asahan pada Jumaat. gambar kecil: Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Petugas SPR melakukan persiapan sempena PRN Melaka di Pusat Daerah Mengundi DUN Asahan di Sekolah Kebangsaan Asahan pada Jumaat. gambar kecil: Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
A
A
A

MELAKA - Pengundi dinasihatkan untuk tidak bersalaman dan menjaga jarak satu meter sepanjang tempoh pengundian Pilihan raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung bagi mengekang penularan virus Covid-19.

Itu merupakan saranan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani bagi mencegah kes Covid-19 daripada meningkat mendadak selepas hari pengundian.

Menurut beliau, proses membuang undi adalah satu proses yang panjang dan melibatkan individu yang ramai serta risiko jangkitan juga bertambah berkali ganda.

Jelas Dr Mohd Dzulkhairi, pengundi diingatkan supaya membuat semakan awal untuk memastikan saluran mengundi anda bagi menjimatkan masa.

“Semasa beratur mengikut saluran, pastikan jarak anda dengan individu lain dikekalkan sekurang-kurangnya satu meter.

“Walaupun telah lama tidak bertemu rakan atau kenalan, elakkan bersalaman dan berbual secara rapat.

“Disebabkan cuaca yang tidak menentu, pengundi dinasihatkan untuk membawa payung.

“Kebiasaannya, alat tulis disediakan di tempat membuang undi. Maka, jangan lupa bawa hand sanitiser anda dan gunakan sebelum dan selepas mencatatkan pilihan anda di kertas undi,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Dzulkhairi berkata, bagi yang berkongsi kenderaan atau menaiki kenderaan yang disediakan oleh jentera parti, mereka perlu sentiasa memakai pelitup muka sepanjang perjalanan ke pusat pengundian.

“Seelok-eloknya, buka tingkap dan tidak menggunakan penyaman udara di dalam kereta sekiranya berkongsi kenderaan.

“Sebaik sahaja tiba di rumah, terus basuh tangan dengan sabun dan mandi. Selepas itu, baharu berjumpa atau duduk dengan ahli keluarga yang lain,” ujarnya.

Dalam kalangan calon pula katanya, peluang bertemu mesra dengan pengundi sewaktu membuang undi dan di pusat undian tentunya dipergunakan untuk meraih undi di saat-saat akhir, namun mereka diingatkan agar tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tambahnya, keghairahan calon dan penyokong boleh menyebabkan kealpaan dalam mengamalkan pencegahan penularan Covid-19.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my