Zairi yakin, percaya PH bawa trek rekod baik

Zairi ketika berucap pada program ‘BERANI SEMUKA': Kenapa Perlu Pilih Kami?’ menerusi siaran langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Zairi ketika berucap pada program ‘BERANI SEMUKA': Kenapa Perlu Pilih Kami?’ menerusi siaran langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Zairi Suboh yakin dan percaya bahawa parti tersebut memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan trek rekod yang baik.

Beliau berkata, ia berikutan PH berjaya menunaikan 72 peratus janji manifesto kepada rakyat Melaka sepanjang memegang tampuk pimpinan selama 22 bulan di negeri itu.

“Mungkin saya boleh senaraikan daripada 85 janji manifesto kami ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kita telah tunaikan sebanyak 62 (janji) ataupun 72 peratus daripada janji manifesto dalam tempoh hanya 22 bulan.

“Betul ada dalam kalangan kita ada kesilapan, mungkin dalam kalangan kita mentadbir juga ada kesalahan, mungkin dalam kami mentadbir ada kesilapan di sana sini.

“Tetapi kami yakin dan percaya sepanjang tempoh 22 bulan ini kami melakukan yang terbaik dan trek rekod inilah yang kami bawa untuk pilihan raya kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program ‘BERANI SEMUKA': Kenapa Perlu Pilih Kami?’ menerusi siaran langsung di semua platform Sinar Harian pada Jumaat.

Program tersebut turut menyaksikan kehadiran Bakri Jamaluddin yang merupakan Calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Klebang, Dr Aluwi Sari (Putra-DUN Pengkalan Batu) dan Datuk Dr Norazlanshah Hazali (Bebas-DUN Serkam) dan Abdul Aziz Osani Kasim (Iman-DUN Machap Jaya).

Mengulas lanjut, Zairi berkata, antara janji manifesto yang telah berjaya dilaksanakan untuk rakyat Melaka adalah pemberian 100 buah rumah peduli rakyat, mendapatkan semula kelulusan projek Empangan Jernih, penyediaan bas percuma, pengaktifan lapangan terbang antarabangsa, bantuan kewangan serta bantuan asnaf.

Artikel Berkaitan:

“Antara yang memberikan kesan paling besar ialah kita memberikan susu untuk makanan kepada pesakit-pesakit dan memberikan bantuan lampin dewasa secara percuma kepada kesemua pesakit di seluruh negeri Melaka.

“Walaupun bantuan lampin itu nampak kecil tetapi perbelanjaan lampin ini terlalu besar bagi kerajaan negeri dengan bajetnya RM300 juta setahun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zairi berkata, tempoh hanya 22 bulan yang ditadbir oleh PH menjadi antara faktor utama mengapa manifesto parti tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Jelasnya, ia bukan satu perkara mudah bagi sebuah parti yang baharu pada ketika itu dalam merancang, mengurus serta melaksanakan perkara-perkara penting untuk kepentingan rakyat.

“Bagi saya, tempoh 22 bulan itu tidak cukup panjang. Dengan apa yang telah kita laksanakan, kita berasa puas hati dan kita rasa dengan trek rekod yang ada itulah pencapaian terbaik yang telah kita dapat laksanakan sepanjang 22 bulan ini.

“Manifesto ini adalah untuk membawa hala tuju kita untuk mentadbir kerajaan sama ada negeri Melaka ataupun negara,” jelasnya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my