Penganggur ditahan miliki 190 botol heroin

Zainuddin (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
Zainuddin (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan berkenaan.
A
A
A

TANAH MERAH - Polis menahan seorang lelaki dan merampas 190 botol berisi heroin seberat kira-kira 1.5 kilogram bernilai RM380,000 dalam satu serbuan di Jalan Kampung Belimbing di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, dalam serbuan jam 6.30 petang itu, lelaki berusia 25 tahun berkenaan sedang berjalan kaki di Jalan Kampung Belimbing sambil membawa satu bungkusan surat khabar di tangan.

Menurutnya, menyedari kehadiran anggota polis, suspek terus mencampakkan bungkusan berkenaan dan cuba melarikan diri.

"Setelah berlaku pergelutan, suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui 30 botol berisi serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

"Hasil siasatan lanjut, dengan dipandu arah suspek, serbuan kedua pula dilakukan pada Khamis di rumahnya dan menemui satu beg galas berwarna hitam di atas lantai. Di dalam beg berkenaan terdapat satu bungkusan kertas berisi 10 botol jenis yang sama.

Bungkusan surat khabar yang berisi 10 botol heroin setiap satu yang berjaya dirampas.
Bungkusan surat khabar yang berisi 10 botol heroin setiap satu yang berjaya dirampas.

Artikel Berkaitan:

"Serbuan ketiga pula dilakukan di kediaman nenek suspek dan menemui satu plastik berwarna hijau di atas lantai sebuah tandas berhampiran.

"Kami menemui 15 bungkusan kertas yang mana setiap bungkusan mempunyai 10 botol jenis yang sama dan disyaki dadah jenis heroin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, 190 botol heroin berkenaan dipercayai boleh dipasarkan kepada 19,000 penagih di sekitar daerah ini.

Botol-botol kecil yang diisi dengan serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.
Botol-botol kecil yang diisi dengan serbuk putih dipercayai dadah jenis heroin.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, suspek mendapatkan barangan berkenaan melalui rakan di sempadan Thailand.

"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian urin yang dijalankan adalah negatif. Kami percaya suspek baru sahaja berjinak dalam penjualan dadah memandangkan dia adalah seorang penganggur dan mempunyai anak berusia tiga bulan.

"Reman pertama dikenakan bermula 18 sehingga 24 November ini dan kita percaya ia merupakan sindiket dadah tempatan sahaja. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.