X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Pengembara Singapura lengkap vaksin boleh ke Malaysia tanpa kuarantin

Pengembara divaksin sepenuhnya dari Singapura boleh melakukan perjalanan ke Malaysia di bawah VTL melalui udara bermula 29 Novber ini tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Pengembara yang telah divaksin sepenuhnya dari Singapura boleh melakukan perjalanan ke Malaysia di bawah Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara bermula 29 Novber ini tanpa perlu menjalani kuarantin semasa ketibaan.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, menerusi VTL, pengembara dari Singapura mesti menggunakan perkhidmatan penerbangan VTL yang ditetapkan antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Malaysia menggariskan hubungan yang terjalin lama, mendalam dan meluas dengan Singapura khususnya dalam memperkukuhkan ketersambungan pengangkutan Malaysia-Singapura.

“Pandemik Covid-19 telah mewujudkan halangan yang luar biasa dan mempunyai kesan jangka panjang terhadap perjalanan udara yang mengakibatkan penurunan dalam permintaan.

“VTL adalah pencapaian penting untuk memulakan semula pemulihan penerbangan awam, yang pada masa sama turut mengambil kira isu kesihatan awam, bagi memastikan daya tahannya di masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Penerbangan VTL akan bermula dengan enam kali penerbangan setiap hari yang dikendalikan oleh AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot, dan Singapore Airlines.

Menurut kenyataan itu, pengembara tidak perlu memohon kebenaran perjalanan ke Malaysia di bawah VTL memandangkan kemudahan kemasukan akan diproses semasa ketibaan selain tidak perlu memohon MyTravelPass daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Antara syarat ditetapkan adalah pengembara mesti telah melengkapkan vaksin Covid-19 diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia dan berada di Singapura dan atau Malaysia dalam tempoh 14 hari berturut-turut sebelum berlepas ke Malaysia.

Pelawat jangka pendek, termasuk pengembara perniagaan dan rasmi mesti mendapatkan visa sah untuk pelawat yang memerlukan visa selain perlu membeli tiket pergi dan balik serta insurans perjalanan dengan perlindungan minimum RM100,000 untuk kos rawatan perubatan hospital berkaitan Covid-19.

Pelancong juga mesti menjalani ujian RT-PCR dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke Malaysia dan semasa tiba di KLIA dan menunggu keputusan ujian di ruang menunggu ditetapkan KLIA dan boleh berlepas meninggalkan lapangan terbang selepas ujian disahkan negatif.

Butiran lanjut mengenai syarat prapelepasan dan kemasukan ke Malaysia boleh didapati di laman web Jabatan Imigresen Malaysia manakala butiran keperluan VTL bagi perjalanan ke Singapura pula boleh didapati di https://safetravel.ica.gov.sg. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!