Keluar parti hanya gimik politik, rakyat sudah jemu: Mohd Rafiq

Mohd Rafiq
Mohd Rafiq
A
A
A

MELAKA - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menyifatkan isu ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dilapor keluar parti ketika hari pengundian semakin hampir sebagai gimik politik murahan.

Beliau berkata, tindakan keluar parti adalah perkara biasa setiap kali berlangsungnya pilihan raya dan rakyat juga sudah jemu dengan gimik sedemikian.

"Rakyat lebih berminat mengenai apa tawaran daripada parti politik yang bertanding.

Jumlah yang digambarkan keluar parti sangat besar sehingga 500 atau 1,000 orang.

"Tapi apa buktinya seramai itu ahli yang keluar sedangkan yang hadir untuk serah borang cuma dua atau tiga orang sahaja.

“Rakyat tidak mahu tengok politik murahan seperti ini.

Saya tidak mahu mengulas dengan terperinci kerana jika ada yang keluar pun, jumlahnya jauh meleset berbanding yang diberitahu,” katanya pada sidang akhbar 13 Ikrar Rafiq di sini pada Khamis.

Media melaporkan seramai 500 ahli Bersatu di empat pusat daerah mengundi (PDM) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu mengisytiharkan keluar parti serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Mereka terdiri daripada ahli-ahli di PDM Pasir Puteh, Taman Rumpun Bahagia, Peringgit dan Kampung Pengkalan Batu.

Mengulas lanjut, Mohd Rafiq yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, tindakan tersebut tidak menggangu fokus PN dalam PRN Melaka.

“Kalau saya kata tidak terkesan langsung, itu mungkin terlalu idealistik.

Bagaimanapun tindakan keluar parti tidak mengganggu proses persiapan parti. Fokus PN untuk menang tidak terjejas dengan gangguan seperti itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rafiq mengumumkan 13 perkara yang menjadi manifesto beliau sekiranya diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas.

Antara yang menjadi fokus bagi DUN berkenaan adalah usaha membanteras dadah dan judi dalam talian di Telok Mas.

"Berdasarkan maklum balas masyarakat sepanjang kempen, ia adalah perkara yang disuarakan mereka dan saya telah kenal pasti beberapa premis judi dalam talian di Telok Mas," katanya.

Selain itu, tawaran lain yang dijanjikan adalah perkhidmatan ambulan dan van jenazah percuma, kelas mengaji percuma, kursus perkahwinan percuma, dan kelas tambahan percuma bagi golongan yang memerlukan.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my