Norwich City ada kualiti elak tersingkir

Dean Smith
Dean Smith
A
A
A

PENGENDALI baharu Norwich City, Dean Smith akan memberi tumpuan penuh untuk memperkuatkan bahagian pertahanan The Canaries sambil menyifatkan pasukannya mempunyai kualiti untuk mengelak daripada tersingkir dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Bekas ketua jurulatih Aston Villa itu menggantikan Daniel Farke selepas pengendali berbangsa Jerman dipecat meskipun memberi kemenangan pertama Norwich apabila menang ke atas Brentford sebelum rehat antarabangsa.

Tugasan sukar menanti Smith di Norwich, apabila Canaries bolos 26 gol musim ini dan menduduki tangga tercorot liga dengan mengutip lima mata daripada 11 perlawanan.

"Norwich perlu berhenti daripada dibolosi pasukan lawan. Mereka perlu menjaringkan lebih banyak gol dan perlu lebih kebal.

"Saya nampak pasukan ini ada kualiti untuk elak daripada tersingkir.Kami perlu jadi pasukan yang sukar untuk ditewaskan," katanya.

Norwich akan menentang Southampton pada Sabtu dalam perlawanan pertama Smith selepas dilantik sebagai ketua jurulatih Canaries pada minggu ini.

Dalam pada itu menurut Smith, pengalaman yang dimiliki ketika bertemu The Saints baru-baru ini ketika dirinya masih bersama Villa akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu Norwich.

"Saya sudah ada perancangan untuk berhadapan Southampton malah saya sudah kenal pasti cara mereka bermain.

Artikel Berkaitan:

"Ia sangat membantu saya. Meskipun kalah 1-0 pada perlawanan tersebut, saya harap pasukan saya kali ini mampu mengubah keputusan yang dimiliki mereka sebelum ini," katanya.

Tambah Smith lagi, pemain tengah yang dipinjamkan daripada Chelsea, Billy Gilmour dan penyerang, Todd Cantwell akan menjadi kunci utama Norwich dalam misi untuk elak daripada tersingkir meskipun jarang diturunkan sebelum ini.

"Kedua-dua mereka akan memainkan peranan besar untuk Norwich. Ia akan menjadi permulaan baru buat mereka dengan barisan kejurulatihan yang baru.

"Kami akan lihat mereka pada latihan esok dan berharap mereka mampu menarik perhatian kami," katanya.