Dulu anak rumah kebajikan, kini calon ADUN

Abdul Hamid mengedarkan risalah kempen sendiri kepada masyarakat DUN Bukit Katil.
Abdul Hamid mengedarkan risalah kempen sendiri kepada masyarakat DUN Bukit Katil.
A
A
A

MELAKA - Peristiwa dibantu seorang bekas pemimpin utama negeri Melaka untuk menyambung pengajiannya lebih 30 tahun lalu tidak akan dilupakan seorang anak yatim piatu yang kini berdiri sebagai calon Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Abdul Hamid Mustapah berkata, keperibadian bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang begitu prihatin dengan rakyat yang memerlukan itu jugalah yang membawa kepda kejayaan beliau hari ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perdagangan daripada Universiti Auckland, New Zealand kini merupakan seorang ahli perniagaan dan pernah menjawat jawatan pengurusan tertinggi di beberapa syarikat.

Bertitik tolak daripada peristiwa itu juga, Abdul Hamid berkata, kini dia memasang niat untuk menjadi pemimpin yang boleh membantu masyarakat.

"Saya kagum dengan pemimpin seperti itu. Jadi selepas saya tamat pengajian dan kembali ke tanah air, saya masih ikut parti itu, masih menyokong mereka sehinggalah saya lihat macam-macam berlaku, kita kecewa dengan korupsi yang berlaku, salah guna kuasa.

"Jadi, saya tarik diri sokong parti itu dan masuk parti lain dan saya tengok parti lain pun sama juga. Akhirnya saya tidak mahu lagi bersama mana-mana parti. Saya kerja sendiri sehinggalah saya buat keputusan menjadi calon Bebas," katanya kepada Sinar Harian.

Abdul Hamid sebelum itu mendedahkan, beliau membesar di rumah kebajikan kerana menjadi anak yatim piatu seawal umur tiga bulan dan dijaga oleh keluarga angkat.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hamid menjadi calon Bebas bagi DUN Bukit Katil yang menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Abdul Hamid menjadi calon Bebas bagi DUN Bukit Katil yang menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Kerana itu katanya, dia sendiri yang mencari jalan menemui Abdul Rahim bagi memohon bantuan menyambung pengajian ke luar negara.

"Selepas keluar dari rumah kebajikan, saya sendiri pergi jumpa beliau dan beritahu saya perlukan bantuan kewangan untuk belajar ke luar negara. Saya beritahu beliau, saya tiada ibu bapa, dan untuk dapat biasiswa juga keputusan peperiksaan tidak begitu cemerlang.

"Jadi beliau hulurkan sumbangan peribadinya kepada saya. Saya ambil masa 12 tahun untuk habiskan pengajian kerana perlu belajar sambil bekerja. Jika tiada wang, saya tangguh belajar, kerja dan sambung balik sehingga tamat,"katanya.

Ujar Abdul Hamid lagi, pengalaman membesar bersama anak-anak pelbagai kaum yang kurang bernasib baik di rumah kebajikan menjadikannya lebih memahami budaya masyarakat.

"Saya bercampur dengan pelbagai kaum. Jadi, kita dah macam satu keluarga dan saya boleh menerimanya sebab sejak kecil saya didedahkan dengan budaya mereka,'' ujarnya.

DUN Bukit Katil menyaksikan pertembungan empat penjuru. Selain Abdul Hamid, turut bertanding merebut kerusi adalah Datuk Hasnoor Husin (BN), Adly Zahari (PH), dan Muhammad Al Afiz Yahya (Pas).

Seramai 25,410 pengundi berdaftar di DUN Bukit Katil bagi PRN Melaka pada 20 November ini.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my