Mujahid, Wan Saiful cuba alih isu tuntutan wanita

Ciapan Marina di Twitternya hari ini.
Ciapan Marina di Twitternya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir mengkritik pemimpin PH yang terus membuat kecaman terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berbanding tuntutan yang dibuat dalam Women’s March sempena sambutan Hari Wanita, semalam.

Beliau yang merupakan anak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan cuba mengalihkan perhatian dengan hanya memberi tumpuan kepada kehadiran peserta LGBT.

“Anda (Mujahid dan Wan Saiful) cuba untuk mengalih perhatian daripada menangani isu wanita yang sangat nyata dengan menumpukan pada hanya satu tuntutan. Memalukan,” katanya melalui ciapan di Twitter, hari ini.

Ciapan Marina turut disertakan dengan #Misogyny yang membawa maksud sikap prejudis terhadap perempuan.

Dalam ciapan berasingan, Marina mengingatkan Mujahid dan Wan Saiful bahawa kumpulan hak wanita antara yang berkempen dan mengundi untuk mereka.

“Adakah Mujahid dan Wan Saiful memberi ucapan positif sempena Hari Wanita Antarabangsa? Walhal kami kumpulan hak wanita, berkempen dan mengundi anda,” katanya.

Semalam, himpunan yang diadakan di ibu kota oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sempena Hari Wanita Antarabangsa dicemari dengan kehadiran penyokong LGBT yang melaungkan ‘Hidup LGBT’.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Penyokong LGBT berarak tuntut hak di ibu kota

Amalan LGBT tidak akan diterima di negara ini: Mujahid

Peserta perhimpunan itu berarak dari pusat beli-belah Sogo hingga ke Masjid Jamek.

Susulan itu, Mujahid menegaskan bahawa LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini.

Katanya, kerajaan juga tidak akan mengiktiraf perbuatan yang salah di sisi undang-undang seperti mana yang ditegaskan Dr Mahathir.

Sementara itu, Wan Saiful pula menegaskan, tindakan tersebut dilihat satu provokasi terhadap kestabilan negara dan ia perlu ditolak semua.