Fong mahu selesai tiga isu di Kota Laksamana

Kedai makan menjadi salah satu lokasi untuk Fong bertemu pengundi.
Kedai makan menjadi salah satu lokasi untuk Fong bertemu pengundi.
A
A
A

MESKIPUN pertama kali melibatkan diri dalam politik, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Fong Khai Ling akui tidak gentar

Kredibiliti anak muda ini bakal menjadi perhatian bagi pengundi rakyat Melaka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Namun, ia tidak mematahkan semangatnya untuk mewakili rakyat.

Memberi peluang kepadanya secara tidak langsung memberi peluang kepada anak muda untuk melibatkan diri dalam politik negara.

Ikuti temu bual Wartawan Sinar Harian, Muhammad Yusainy Mohamad Yunus bersama Fong Khai Ling calon DUN Kota Laksamana.

Sinar Harian: Apa perasaan saudari menjadi antara calon muda yang bertanding dalam PRN Melaka?

FONG: Perasaan saya bercampur baur tetapi bersyukur kerana diberi peluang menjadi calon dalam PRN Melaka kali ini. Perasaan saya gembira kerana saya merupakan golongan muda dan wanita yang diberi kepercayaan memegang tanggungjawab sebagai calon. Saya merupakan anak muda yang baru sahaja berjinak dalam dunia politik dan diberi amanah untuk mewakili rakyat Kota Laksamana.

Apa cabaran yang dihadapi oleh saudari sepanjang berkempen?

Cabaran saya adalah berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kepada pengundi atau sukarelawan. Saya perlu fikirkan bagaimana hendak memastikan pematuhan SOP serta tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat sepanjang PRN. Saya juga sentiasa memikirkan keselamatan dan kesihatan sukarelawan yang membantu saya sejak 8 November lagi.

Artikel Berkaitan:

Fong mendekati pelbagai golongan dan kaum ketika berkempen.
Fong mendekati pelbagai golongan dan kaum ketika berkempen.

Sejauh mana pendekatan yang digunakan untuk mendekati masyarakat di kawasan tersebut?

Meskipun terhad dan perlu patuh kepada arahan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun ia tidak menjadi halangan kepada saya dalam menyampaikan maklumat kepada pengundi. Semua pihak perlu faham dengan tindakan yang diambil oleh pihak berwajib dalam mengekang penularan wabak Covid-19 yang belum berakhir. Bagi saya, pematuhan SOP ini adalah langkah terbaik malah lebih mudah sebenarnya berkempen secara dalam talian. Apa yang penting adalah keselamatan rakyat di Melaka.

Apakah respons yang saudari dapat daripada pengundi sepanjang berkempen?

Pasti akan ada suara yang membantah dan juga menyokong. Saya tidak menafikan ramai yang menyoal kredibiliti saya sebagai calon anak muda atas faktor usia dan pengalaman. Namun ramai yang memberikan sokongan dan pertolongan kepada saya selaku anak muda kerana sejujurnya Kota Laksamana adalah kubu DAP sepanjang 30 tahun dan saya sebagai anak muda wanita perlu berani menyahut cabaran untuk bertanding di DUN Kota Laksamana ini.

Apa yang ingin saudari perjuangkan dalam PRN kali ini?

Mengikut tinjauan saya bersama peniaga dan penduduk Kota Laksamana, mereka ingin seorang wakil rakyat yang dapat menyelesaikan masalah utama yang dihadapi sejak bertahun-tahun lamanya. Antaranya isu banjir, masalah kesesakan lalu lintas dan juga isu kekurangan peluang pekerjaan. Isu banjir merupakan isu pertama yang harus selesaikan manakala kesesakan lalu lintas juga menyebabkan rakyat Melaka sendiri enggan keluar berhimpit dengan para pelancong. Isu kekurangan peluang pekerjaan yang membabitkan kebajikan dan masa hadapan golongan muda menyebabkan penghijrahan anak muda ke bandar besar seperti Kuala Lumpur juga menjadi keutamaan yang saya ingin perjuangkan dalam PRN kali ini.

Apa harapan saudari kepada pengundi Kota Laksamana?

Saya harap penduduk di Kota Laksamana boleh memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat di DUN ini. Beri peluang kepada lebih anak muda untuk menceburi dunia politik secara sihat. Undilah saya Fong Khai Ling calon nombor satu di DUN Kota Laksamana. Kesejahteraan bandar bersejarah ini ada pada tangan anda.

No Image Caption

PROFIL

Nama: Fong Khai Ling

Umur: 27 Tahun

Pendidikan:

  • Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti of Sunderland
  • Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Kolej Universiti Nilai

Jawatan:

  • Ketua Beliawanis Persatuan QuanZhou Malaysia (2021)
  • Timbalan Setiausaha Persatuan Belia Xiang Lian Wilayah Persekutuan (2021)
  • Penyampai Berita NTV7 dan 8Tv (kampus)
  • Majlis Perwakilan Pelajar Pengarah Perhubungan Kumpulan Awam (2017)