Usaha kumpul dana bantu dapatkan hak jagaan adik Emily diteruskan

Mohamad Ali
Mohamad Ali
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha mengumpulkan dana bagi menampung kos guaman untuk mendapatkan hak jagaan anak perempuan seorang wanita warga Malaysia beragama Islam yang menetap di London, United Kingdom (UK) masih terus dijalankan.

Penganjur kutipan tersebut, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, kos diperlukan bagi menampung proses tuntutan yang bermula pada 23 November ini di Mahkamah Tinggi London adalah sekitar RM85,000.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, setakat ini, kutipan dana orang ramai yang dilancarkan sejak September lalu bagi membantu ibu kepada Emily Rose Isabella, 2, Sharifah Hanim telah mencecah RM21,620.

“Untuk mencukupkan jumlah yang diperlukan, kita akan usahakan dalam masa terdekat ini melalui sumbangan badan sukarelawan yang lain.

“Bagaimanapun, kami masih membuka kutipan daripada orang ramai yang prihatin untuk membantu.

“Kita akan serahkan deposit awal yang diperlukan bagi urusan guaman tersebut kepada bapa saudara Emily Rose, (Zolkarnain Zakaria, 44) pada 22 November ini iaitu sebelum tarikh perbicaraan yang dijadualkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sebuah portal tempatan pada Rabu melaporkan bahawa hak penjagaan Emily telah dituntut oleh tiga pihak lain iaitu bapa kandungnya iaitu Brian Winnet, keluarga angkat dan Jabatan Kebajikan Sosial London.

Perbicaraan mengenai hak jagaan Emily dilaporkan akan berlangsung di Mahkamah Keluarga London Timur bermula 23 hingga 30 November ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Mohamad Ali berkata, beliau dimaklumkan pihak Kedutaan Malaysia di UK telah membantu Emily untuk mendapatkan pasport dan surat beranak Malaysia.