RMK12: Perak kemuka lebih 1,000 projek bernilai RM27.58 bilion

Saarani (tengah) bersama Mustapa (kanan) ketika Program Roadshow Pasca RMKE-12 bersama kerajaan negeri Perak yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: SUK Perak
Saarani (tengah) bersama Mustapa (kanan) ketika Program Roadshow Pasca RMKE-12 bersama kerajaan negeri Perak yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada Rabu. Foto: SUK Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengenal pasti sebanyak 1,389 projek keutamaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan nilai keseluruhan RM27.58 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, antara projek utama yang dikenal pasti termasuk Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) dan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Beliau berkata, kesemua projek keutamaan itu telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri.

"SVTP adalah satu taman perindustrian baharu di Chemor melibatkan kawasan seluas 1,139.2 hektar. Projek ini dijangka akan menjadi pemacu sektor pembuatan berteknologi tinggi dan bertindak sebagai pemangkin revolusi industri 4.0.

"Kawasan ini akan dibangunkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam tempoh empat tahun bermula pada tahun 2021 hingga 2024," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Saarani berkata, SVTP akan memberi fokus kepada lima sektor pembuatan utama berteknologi tinggi seperti Sektor Elektrik dan Elektronik, Sektor Peranti Perubatan dan Farmaseutikal, Sektor Sistem Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV), Sektor Pertanian Pintar dan Sektor Ekonomi Digital.

Beliau berkata, WCE pula merupakan projek berimpak tinggi yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2024, namun Seksyen 8, 9, dan 10 lebuh raya tersebut telah mula dibuka dengan kos RM1.9 bilion bagi jajaran di Perak.

Katanya, pembukaan lebuh raya itu akan meningkatkan kesalinghubungan dan memudahkan akses ke kawasan pantai barat dari utara ke selatan Semenanjung Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan oleh EPU Jabatan Perdana Menteri sempena siri jerayawara RMK12 bersama kerajaan negeri Perak pada Rabu, perbincangan sesi libat urus diadakan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama Saarani yang turut disertai Exco Kerajaan Negeri Perak, ketua-ketua jabatan dan wakil pertubuhan masyarakat sivil.

Menurut kenyataan itu, fokus perbincangan terarah kepada pembangunan digital di bawah RMK12 kerana ketersambungan digital adalah pemacu utama untuk mencapai pertumbuhan inklusif dan mampan.

"Dalam libat urus hari ini, kerajaan negeri Perak menekankan mengenai pendigitalan khususnya untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Kepentingan kualiti liputan perlu diberi perhatian, bukan hanya sekadar penembusan jalur lebar mudah alih.

"Infrastruktur digital di Perak sedang ditambah baik melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang dilaksanakan bermula tahun 2020 sehingga 2022," katanya.

Menurut kenyataan itu, sehingga suku keempat 2021, inisiatif Jendela yang diperkenalkan telah memberi manfaat kepada Perak, antaranya membina 176 buah menara baharu bagi memperluaskan liputan 4G dengan 46 menara baharu telah siap dibina.

Selain itu, katanya, sebanyak 1,596 daripada 1,882 stesen pemancar untuk liputan 4G telah dinaik taraf, selain 107,944 daripada 252,475 premis telah menerima capaian gentian optik, manakala 73 buah perkampungan orang asli akan menerima liputan jalur lebar satelit tanpa wayar.

Kenyataan itu turut menyebut, Majlis Ekonomi Digital dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negeri telah ditubuhkan atas persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Oktober 2021.

Majlis tersebut akan dipengerusikan Mustafa dan dianggotai oleh barisan Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab dalam portfolio digital.

"Majlis ini bertujuan mengharmonikan pelan pembangunan digital di peringkat pusat dan negeri berdasarkan RMK12, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara. Ini juga akan memastikan kualiti ketersambungan digital dan akses kepada internet berada pada tahap terbaik untuk manfaat kepada rakyat.

"Pendigitalan amat penting untuk pemulihan ekonomi akibat Covid-19 dan kemampanan ekonomi. Majlis Ekonomi Digital dan Dasar 4IR Negeri amat penting untuk pusat dan negeri dapat bergerak seiring mencapai sasaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia," katanya.