Hasmoni nekad selesai isu lampu isyarat, klinik kesihatan

Calon PH DUN Sungai Udang, Hasmoni Tamby.
Calon PH DUN Sungai Udang, Hasmoni Tamby.
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah kekurangan lampu isyarat dan klinik kesihatan yang sempit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang akan menjadi antara tumpuan calon Pakatan Harapan (PH), Hasmoni Tamby, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Hasmoni berkata, dia nekad untuk menyelesaikan isu keselamatan pengguna jalan raya di pekan Sungai Udang yang dipercayai kekurangan lampu isyarat sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Justeru, katanya, dia akan memastikan pemasangan lampu isyarat di kawasan berkenaan jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

“Berdasarkan suara penduduk setempat, mereka telah lama menantikan pemasangan lampu isyarat berikutan kerapnya berlaku kemalangan.

“Andai saya menang, saya akan pastikan lampu isyarat dipasang demi keselamatan penduduk Sungai Udang,” katanya menerusi satu klip video bertajuk ‘Suara Untuk Semua’ yang disiarkan di platform Youtube pada Selasa.

Di bawah inisiatif ‘Suara Untuk Semua’, kesemua calon yang bertanding pada PRN Melaka, tidak kira parti dan ideologi politik boleh menyediakan klip video tentang diri mereka dan polisi masing-masing yang akan dibawa untuk dihebahkan kepada pengundi menerusi Sinar Harian, Astro Awani dan Sin Chew Daily.

Mengulas lanjut, Hasmoni berkata, dia juga akan memperjuangkan isu Klinik Kesihatan Melaka Tengah yang dikatakan tidak mampu menampung jumlah penduduk Sungai Udang semakin bertambah.

“Berdasarkan maklum balas penduduk, Klinik Kesihatan Sungai Udang ini tidak cukup untuk menampung kapasiti penduduk kerana dengan kewujudan kem tentera, penjara dan Petronas. Amat perlu klinik kesihatan ini dibesarkan.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya akan bawa isu ini dalam sidang DUN apabila saya diberi mandat,” katanya.

Pada Selasa, sejumlah 89.9 peratus atau 10,390 orang telah melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal pada PRN Melaka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi tersebut terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis.

SPR menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.