Infrastruktur digital agenda penting pembangunan Sarawak

Nancy. Foto fail Bernama
Nancy. Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Sarawak pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan memastikan pembangunan infrastruktur digital menjadi antara agenda penting yang diberi tumpuan dalam konteks pembangunan negeri.

Naib Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana pembangunan berkenaan dilihat sebagai faktor utama kejayaan dalam membantu Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Beliau berkata, atas komitmen itu juga, banyak penekanan mula diberikan terhadap usaha memastikan jaringan internet dapat diakses di setiap pelosok negeri agar rakyat berupaya melibatkan diri dalam ekonomi digital.

“Kita (Sarawak) tidak mahu ketinggalan dengan negara jiran seperti Indonesia. Bayangkan Indonesia nanti akan memindahkan ibu negara mereka yang baharu ke Kalimantan Timur berjiran dengan Sarawak, sudah tentu ia memberi saingan ekonomi dan menyediakan peluang- peluang lain.

“Jadi kita perlu merancang sebaik mungkin dan memastikan apa-apa jua aktiviti ekonomi diberikan penekanan dan perhatian yang teliti,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu kepada Bernama baru-baru ini.

Nancy berkata, perancangan yang teliti membuktikan kerajaan negeri serius mahukan kualiti hidup rakyat dipertingkatkan melalui pemerkasaan ekonomi setempat.

“Ini adalah di sebalik pelbagai cabaran besar dalam menyediakan infrastruktur berkaitan.

“Kita pun faham saiz (keluasan) Sarawak yang hampir sama dengan Semenanjung Malaysia dan bentuk muka buminya mencabar, menyebabkan kos pembinaan infrastruktur serta masa diambil menjadi cabaran besar sama ada kepada kerajaan negeri mahupun pusat.

Artikel Berkaitan:

“Kerana itu, saya berharap agar kerajaan Persekutuan dapat memberi pertimbangan untuk memberikan peruntukan lebih besar supaya Sarawak dan kawasan luar bandar khususnya, dapat ‘mengejar’ rakyat di bandar dalam mendapatkan akses internet yang telah pun menjadi satu keperluan asas pada masa kini,” katanya.

Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong mengingatkan pemimpin pembangkang agar tidak keterlaluan melemparkan tohmahan kepada kerajaan negeri dalam isu pembangunan di Sarawak.

Katanya, pembangkang harus ingat bahawa mereka juga pernah diberikan peluang untuk sama-sama membawa perubahan kepada Sarawak ketika berlakunya peralihan kuasa di peringkat kerajaan Pusat sebelum ini, tetapi tidak berupaya membawakan ‘impak’ yang baik selama memerintah. - Bernama