X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Hukuman mati kelindan lori kekal, seorang lagi terlepas tali gantung

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang kelindan lori kerana melepaskan tembakan semasa rompakan di sebuah lebuh raya.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Nor Bee Ariffin, Datuk K Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Ahmad Farid Mohamad Nasir berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya.

Nor Bee berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tidak berlaku kekhilafan dari segi undang-undang dan fakta dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi ketika mensabitkan Ahmad Farid dengan kesalahan itu.

"Mengenai fakta dan bukti secara keseluruhan, kami mendapati sabitan perayu adalah selamat," katanya.

Sementara itu, seorang pekerja rencam, Khairul Ikhwan Mohammad Kassim yang didakwa bersama-sama Ahmad Farid, terlepas tali gantung apabila mahkamah sama membebas dan melepaskan dia daripada pertuduhan susulan keputusan pendakwaan untuk tidak mencabar rayuannya.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak akan mencabar rayuan Khairul Ikhwan.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Khairul Ikhwan dan menjatuhkan hukuman mati diketepikan kerana mahkamah mendapati sabitannya adalah tidak selamat.

Ahmad Farid dan Khairul Ikhwan, kedua-duanya berusia 30 tahun, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Mei 2019 yang mendapati mereka bersalah atas pertuduhan melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian kepada penjawat awam kanan Nazaruddin Harun semasa melakukan rompakan.

Nazaruddin telah ditembak di bahagian pinggul ketika insiden rompakan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 7.5, Lebuhraya Baharu Lembah Klang di daerah Sepang, Selangor pada jam 11.45 malam, 5 Januari 2014 mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Ahmad Farid mempunyai satu lagi peluang untuk merayu iaitu kepada Mahkamah Persekutuan.

Kedua-dua lelaki diwakili peguam Datuk N Sivananthan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!