Budak empat tahun maut terjatuh dari tingkat 29

Beh Eng Lai
Beh Eng Lai
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam insiden sekitar jam 2.41 petang itu, mangsa ditemui oleh salah seorang kakitangan badan pengurusan di koridor tingkat 8 kondominium tersebut.

"Mangsa telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci kerana keluar untuk membeli barang dan mendapati anaknya tiada di rumah selepas pulang.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat sebuah kerusi berada di tepi tingkap bilik tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Eng Lai berkata, tingkap di dalam bilik tersebut didapati tidak mempunyai jeriji dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah.

"Pihak pengurusan telah menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, mayat telah dirujuk ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel Berkaitan: