Negeri Sembilan peruntuk RM41.2 juta kepada JPS, Marris

Aminuddin (tengah) turut melancarkan penerbitan katalog banjir Negeri Sembilan edisi kedua oleh JPS Negeri Sembilan pada majlis berkenaan.
Aminuddin (tengah) turut melancarkan penerbitan katalog banjir Negeri Sembilan edisi kedua oleh JPS Negeri Sembilan pada majlis berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM 41.2 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan pada tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah itu, peruntukan turut diberikan kepada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi merancang beberapa projek teknikal dan bukan teknikal dalam melaksanakan kerja tebatan banjir bertujuan mengurangkan pencemaran sungai serta impak banjir.

"Sepertimana kita sedia maklum, JPS bertindak dalam memberikan khidmat teknikal yang khusus dalam pengurusan sumber air dan hidrologi, lembangan sungai dan pantai, saliran mesra alam serta pengairan dan saliran.

"Saya amat menghargai komitmen JPS dalam memastikan kefahaman dan pengetahuan dalam bidang pengurusan air ini disampaikan dengan cara yang betul dan teratur kepada jabatan serta gensi agar kita dapat memanfaatkannya bagi keperluan rakyat negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Hari Sungai Sedunia 2021 di Casa Lagenda Convention Centre (CLCC), Senawang di sini pada Selasa.

Sementara itu, beliau turut memberikan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan peruntukan RM 7.2 juta bagi membangunkan Program Ramalan Awal Banjir Fasa 2 di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak106 stesen bakal dibangunkan dengan 41 stesen baharu dibina dan dijangka berupaya memberi ramalan serta amaran banjir lebih awal.

"Justeru, ia bakal memberikan pendedahan dalam kalangan penduduk yang berpotensi terjejas dengan banjir untuk berpindah sebelum banjir.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama ia turut memberi ruang kepada agensi penyelamat dalam menyusun strategi operasi pemindahan penduduk dengan cekap dan teratur sekali gus dapat memberi ruang kepada komuniti yang terkesan untuk membuat persiapan serta persediaan rapi," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri juga telah merancang beberapa inisiatif terhadap hala tuju dan dasar belanjawan kerajaan Negeri Sembilan bagi tahun 2022 khususnya untuk projek-projek tebatan banjir.

"Saya amat mengharapkan agar penglibatan seluruh jabatan dan agensi yang berada di Negeri Sembilan dapat menggemblengkan usaha dan memahami tentang kepentingan dalam merealisasikan Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu (IRBM).

"Ia secara tidak langsung dapat memberikan input bagi tujuan pembangunan yang bukan hanya terletak pada kepentingan mendapatkan pulangan hasil kepada kerajaan negeri tetapi kesinambungan terhadap keperluan pembangunan yang terkawal dengan melestarikan kepentingan alam sekitar dan air," katanya.