Kelemahan penswastaan Liga-M diharap selesai tahun depan: Firdaus

Mohd Firdaus - Foto Bernama
Mohd Firdaus - Foto Bernama
A
A
A

PROSES penswastaan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dijangka selesai sepenuhnya pada tahun depan apabila beberapa kelemahan diperbaiki, kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed.

Beliau yang sebelum ini menjadi individu penting dalam proses penswastaan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM berkata, antara kelemahan utama buat masa ini adalah kebergantungan pasukan kepada dana kerajaan negeri.

Berikutan itu katanya, apabila berlaku pertukaran kerajaan atau pucuk kepimpinan, ia membawa kesan ke atas peruntukan kewangan yang dijanjikan buat pasukan seperti dirancang dalam bajet sebelum musim bermula, sehingga masalah tunggakan gaji berlarutan walaupun pasukan telah bertukar status kepada FC.

“Tetapi saya difahamkan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) telah berusaha untuk memperkemaskan keadaan itu. Kita tunggu sehingga 2023, sehingga penswastaan sepenuhnya seperti yang disarankan oleh FIFA agar tiada lagi kepentingan negeri ke atas pasukan tersebut.

“Jadi saya rasa semua pasukan sedang berusaha untuk berada dalam landasan yang betul bagi menjadikan pasukan betul-betul profesional dengan bantuan daripada pihak MFL sendiri,” katanya baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pasukan Liga-M termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sarawak United, Perak FC dan Melaka United menghadapi masalah tunggakan gaji pemain.

Mohd Firdaus berkata, pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan FC dan Petaling Jaya (PJ) City FC menjadi contoh buat pasukan lain ke arah penswastaan apabila tidak mengharapkan dana kerajaan.

“Saya difahamkan banyak pasukan sedang ke arah itu seperti Sri Pahang FC yang tidak lagi guna dana kerajaan negeri. Mungkin ada pasukan hanya minta dana untuk pembangunan sahaja, bukan untuk pasukan utama.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin dan percaya tahun depan mereka akan bertanding dengan kedudukan kewangan sendiri. Proses penswastaan penuh ini memang mengambil masa dan ada beberapa cabarannya,” jelas beliau. - Bernama