Fadhlina dilantik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas

Rais pada mesyuarat pertama kali Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara, pada Selasa
Rais pada mesyuarat pertama kali Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara, pada Selasa
A
A
A

SHAH ALAM - Pengamal Undang-undang, Senator Fadhlina Datuk Sidek dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara pada mesyuarat pertama kali pada Selasa.

Pengerusinya, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, tiga lagi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas tersebut ialah Senator Datuk Jefridin Atan, Senator Datuk Seri Vell Paari dan Senator Datuk Zaiedi Suhaili.

Menurutnya, sebagai Jawatankuasa Pilihan Khas yang mempunyai kuasa perundangan, Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah itu berkuasa memanggil mana-mana pihak yang berkaitan sesuatu isu mengenai tadbir urus, integriti dan anti-rasuah.

“Ia selaras peruntukan Peraturan Mesyuarat 75(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara dan sebarang keengganan atau keingkaran mana-mana pihak hadir di hadapan jawatankuasa atau mengemukakan dokumen yang diminta oleh Jawatankuasa ini boleh dikenakan hukuman oleh Majlis Mesyuarat selaras dengan kuatkuasa Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347].

Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara, pada Selasa
Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara, pada Selasa

“Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga bertanggungjawab meneliti rang undang-undang, menyiasat dan melaporkan sebarang cadangan, usul, petisyen, laporan atau dokumen mengenai isu yang dibangkitkan berhubung tadbir urus, integriti serta anti rasuah dan seterusnya perlu dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Dewan Negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Dewan Negara yang merupakan satu daripada tiga Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negara ditubuhkan dalam usaha mentransformasikan Parlimen, bermesyuarat buat pertama kali.

Pada 28 Oktober, Dewan Negara akan menubuhkan tiga jawatankuasa penentu khas iaitu Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Jawatankuasa Komunikasi dan Pendidikan dan Jawatankuasa Urus Tadbir, Integriti dan Anti-Rasuah sebagai usaha transformasi Parlimen.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Jawatankuasa Urus Tadbir, Integriti dan Anti-Rasuah turut bertujuan mengimbangi perkara anti rasuah yang sekarang tidak diselaraskan dalam konteks Parlimen.

Dalam pada itu, Rais berkata, orang ramai boleh mengemukakan petisyen terus kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah berhubung isu berkaitan Jawatankuasa Pilihan Khas ini jika mereka mempunyai maklumat kukuh untuk disalurkan.

“Justeru, sesi penerangan mengenai Jawatankuasa Pilihan Khas ini kepada semua Ahli Parlimen akan dibuat dari masa ke masa,” ujarnya.