X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 17 Januari 2022

Didenda RM6,000 guna peralatan komunikasi tidak diperakui

Aik Seng (kanan) ditemani peguam Norazmi selepas dijatuhkan hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas pengakuan bersalah menggunakan peralatan komunikasi yang tidak diperakui, tujuh tahun lalu.
A
A

KUANTAN - Seorang pesara swasta didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan peralatan komunikasi yang tidak diperakui, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Kafli Che Ali memutuskan penjara enam bulan terhadap Yap Aik Seng, 58, sekiranya gagal membayar denda yang diarahkan.

Bapa kepada lima anak itu mengaku bersalah menggunakan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui sebagaimana yang dikehendaki oleh Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu satu unit radio marin jenama Superstar model SS-39.

Aik Seng melakukan kesalahan itu pada jarak 14 batu nautika dari Kuala Rompin, jam 10.45 pagi pada 3 Julai 2015.

Dia didapati melakukan satu kesalahan di bawah Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 dibaca bersama Peraturan 16(3) yang boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama.

Bagi kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Dalam prosiding itu, peguam yang mewakili Aik Seng, Norazmi Kasani merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang paling minima kepada anak guamnya.

"Anak guam saya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa akan datang.

"Pengakuan salah tertuduh telah menjimatkan masa semua pihak dan perkara itu perlu diambil kira oleh mahkamah dalam menentukan hukuman," katanya.

Sementara itu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang setimpal terhadap Aik Seng.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!