FAM umum Pengarah Teknikal Januari 2022

Saifuddin - Foto FAM
Saifuddin - Foto FAM
A
A
A

BIARPUN telah menerima banyak permohonan bagi mengisi kekosongan jawatan Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun sebarang keputusan mengenainya hanya akan diumumkan pada awal Januari depan.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar, sehingga ke hari ini, pihaknya masih menilai permohonan yang diterima bagi memastikan individu yang benar-benar layak bagi menjawat jawatan berkenaan kelak.

“Jawatan bagi Pengarah Teknikal FAM ini akan kita umumkan pada 3 Januari depan.

“Untuk makluman, ramai yang memohon jawatan ini; bagaimanapun kita masih belum lagi buat keputusan,” katanya pada Isnin selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, di Wisma FAM.

Untuk rekod, selama tiga bulan kebelakangan ini jawatan bagi Pengarah Teknikal FAM didapati kosong setelah Datuk Ong Kim Swee meletakkan jawatannya dan menerima tawaran selaku ketua jurualtih Sabah FC.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya dijangka mengadakan perbincangan lanjut dengan pengendali skuad bawah 22 (B-22), Brad Maloney, berhubung kontrak jurulatih berkenaan.

Malah katanya, perbincangan berkenaan dijangka akan berlaku dalam minggu ini juga kerana mahu mengetahui apakah perancangan Maloney pada kejohanan-kejohanan akan datang.

“Selain itu, ada beberapa perkara lagi yang harus dibincangkan bagi mendapatkan persetujuan bersama.

Artikel Berkaitan:

"Perbincangan itu kita akan buat dalam minggu ini kerana Maloney baru sahaja tiba dari Mongolia dan menjalani kuarantin,” katanya.