Ribut: Kenderaan, kemudahan awam musnah

Sebuah kereta musnah selepas dihempap pokok dalam kejadian di Bandar Putra Permai
Sebuah kereta musnah selepas dihempap pokok dalam kejadian di Bandar Putra Permai
A
A
A

PUTRAJAYA - Kejadian ribut di beberapa lokasi sekitar Putrajaya telah menyebabkan berlakunya insiden pokok tumbang sehingga memusnahkan kenderaan dan kemudahan awam di sini, semalam.

Bagaimanapun, difahamkan tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Balai Bomba Putrajaya, Che Shari Abdullah berkata, kejadian ribut dan angin kencang itu telah menyebabkan kawasan Presint 9 dan Presint 11 terjejas berikutan kejadian pokok tumbang sehingga menyebabkan laluan terhalang.

"Anggota bomba mengambil tindakan untuk mengalihkan pokok tumbang itu dan membersihkan melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Katanya, kerja-kerja pembersihan yang bermula jam 6.10 petang itu berakhir sepenuhnya sekitar jam 7.58 malam.

Dalam perkembangan lain, sebuah kereta turut musnah selepas dihempap pokok dalam satu kejadian ribut yang berlaku di Jalan BPP 8/2, Bandar Putra Permai.

Keadaan pokok yang menghalang laluan selepas ribut di Putrjaya
Keadaan pokok yang menghalang laluan selepas ribut di Putrjaya

Artikel Berkaitan:

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.26 petang dan sebuah jentera digegaskan ke lokasi terlibat bagi melakukan kerja-kerja menyelamat.

"Kenderaan tersebut dipercayai sedang diparkir sebelum dihempap pokok berkenaan yang tumbang ekoran angin begitu kencang pada petang kejadian," katanya.

Mengulas lanjut, Norizham berkata, pihaknya turut melakukan kerja-kerja pemotongan pokok tumbang itu dan pembersihan sisa di lokasi berkenaan.

Tambahnya tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku ekoran insiden tersebut.

"Sewaktu kejadian tiada mangsa di dalam kereta tersebut dan kita hanya melakukan kerja pemotongan pokok dan pembersihan sisa," katanya.