Pemandu Viva maut langgar pokok selepas rempuh dua kenderaan

Mangsa yang memandu Perodua Viva maut selepas melanggar pokok sebelum merempuh dua kenderaan lain dalam kejadian berhampiran Puchong Prima pada Ahad.
Mangsa yang memandu Perodua Viva maut selepas melanggar pokok sebelum merempuh dua kenderaan lain dalam kejadian berhampiran Puchong Prima pada Ahad.
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang lelaki maut setelah kereta yang dipandu melanggar pokok sebelum merempuh dua kenderaan lain termasuk sebuah motosikal berhampiran Puchong Prima di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkitan kira-kira jam 7.30 petang.

"Siasatan dijalankan mendapati mangsa yang merupakan lelaki berumur 42 tahun memandu kereta jenis Perodua Viva dari arah bulatan Puchong Prima menghala ke Puchong Prima.

"Mangsa kemudiannya melanggar belakang sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan sebuah kereta jenis Proton Wira sebelum melalui Jalan Desa Millenia ke arah Puchong Prima," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kereta yang dipandu mangsa kemudiannya terbabas sebelum melanggar sebatang pokok di kiri jalan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudiannya disahkan maut di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, penunggang dan pemandu kereta yang dilanggar mangsa sebelum kejadian dipercayai mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Sampel darah dan air kencing telah diambil untuk siasatan lanjut, dan kini sedang menunggu pengesahan dari Jabatan Kimia.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.