Keputusan AGC mohon batal saman pemula warga Korea Utara 24 November

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin menetapkan 24 November untuk keputusan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) membatalkan saman pemula difailkan seorang ahli perniagaan dari Korea Utara terhadap Kerajaan Malaysia, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) serta tiga pihak lagi berhubung perintah ekstradisi ke AS ke atas lelaki berkenaan.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Ahmad Hanir Hambaly dan peguam Datuk Nicholas Kow dan Emile Ezra Hussain yang mewakili Mun Chol Myong, 56.

Dalam hujahnya, Nicholas berkata, berlaku pelanggaran hak asasi plaintif dan dia telah diserahkan kepada negara lain secara salah tanpa mematuhi undang-undang negara ini sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Plaintif berhujah bahawa saman pemula ini wajar didengar dan diputuskan berdasarkan meritnya, dan menanganinya melalui proses ringkasan akan menjadikan haknya di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan dinafikan,” katanya.

Beliau berkata sekiranya mahkamah membenarkan permohonan defendan untuk membatalkan saman pemula itu, ia akan memprejudiskan plaintif kerana haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan dilucutkan tanpa sebarang kaedah untuk membetulkan ketidakadilan itu.

Ahmad Hanir berhujah bahawa tindakan undang-undang yang dibawa oleh plaintif tidak lagi relevan selepas dia diekstradisi ke AS pada 17 Mac 2021 dan oleh itu memohon supaya saman pemula itu dibatalkan.

Pada 8 Mac lepas, Mun memfailkan saman pemula dengan menamakan pendakwa raya, Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan Malaysia dan kerajaan AS masing-masing sebagai defendan pertama hingga kelima.

Mun memohon deklarasi bahawa Seksyen 4 dan Seksyen 20 Akta Ekstradisi 1992 tidak berperlembagaan, batal, tidak sah dan tiada kesan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta Pindaan Kelapan dan Pindaan ke-14 Perlembagaan Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Dia juga memohon injunksi bagi menghalang kerajaan AS daripada mengambil tindakan melalui Menteri Dalam Negeri Malaysia, KDN dan kerajaan Malaysia menurut Perjanjian Ekstradisi antara kedua-dua negara itu yang ditandatangani pada 3 Ogos 1995.

Pada 13 Mei 2019, pendakwaan memfailkan permohonan di Mahkamah Majistret untuk waran tangkap sementara terhadap Mun yang kemudiannya dibenarkan pada hari yang sama.

Pada 10 Jun 2019, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengemukakan permohonan rasmi melalui saluran diplomatik kepada kerajaan Malaysia untuk Mun diekstradisi.

Dalam permohonan ekstradisi itu, dinyatakan bahawa Mun adalah penjenayah dalam buruan yang dikehendaki menghadiri perbicaraan di AS berikutan waran tangkap yang dikeluarkan kepadanya atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram.

Mahkamah Sesyen pada 13 Disember 2019, mengeluarkan perintah agar Mun dihantar ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perintah penyerahan daripada Menteri Dalam Negeri kepada pihak berkuasa AS.

Mun kemudiannya memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi di sini pada 12 Disember 2019 untuk memohon dibebaskan daripada tahanan, bagaimanapun ditolak oleh mahkamah pada 8 Oktober tahun lepas.

Ahli perniagaan itu kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan habeas corpus itu di Mahkamah Persekutuan namun rayuannya ditolak pada 9 Mac lepas. - Bernama