Pelabuhan Batu Pahat sebagai platform perdagangan IMT-GT

Mustapa (kanan) dan Hasni sebelum mendengar sesi taklimat program menangani kemiskinan di Iskandar Puteri dan Johor di Ibu Pejabat IRDA, Iskandar Puteri pada Ahad.
Mustapa (kanan) dan Hasni sebelum mendengar sesi taklimat program menangani kemiskinan di Iskandar Puteri dan Johor di Ibu Pejabat IRDA, Iskandar Puteri pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pelabuhan Batu Pahat perlu dibangunkan sebagai sebuah platform perdagangan antarabangsa yang berjaya di rantau ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd Solihan Badri berkata, pelabuhan itu nanti akan memberi manfaat susulan negeri ini menyertai Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

Menurutnya, pembangunan pelabuhan itu juga merupakan sebahagian perancangan kerjasama terhasil antara tiga negara dalam IMT-GT.

"Kita sedang mengkaji untuk melaksanakan projek-projek yang boleh menguntungkan negara-negara anggota (IMT-GT), antaranya adalah pembangunan pelabuhan 'barter trade' di Batu Pahat.

"Jadi kita minta kerajaan Persekutuan untuk bantu kita bangunkan pelabuhan berkenaan sama ada dalam bentuk peruntukan dan khidmat nasihat untuk melaksanakan perkara berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Sesi Roadshow Pasca RMK12 di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini pada Ahad.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak IMT-GT Ke-13 secara maya pada 28 Oktober lalu memaklumkan keputusan melibatkan tiga negeri sebagai ahli baharu IMT-GT iaitu Johor, Pahang dan Terengganu.

Hasni pula sebelum ini memberitahu, penyertaan Johor dilihat amat bersesuaian kerana negeri berkenaan turut menjalin kerjasama dengan Indonesia melalui Kepulauan Riau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mustapa berkata, kemasukan Johor dalam kerjasama IMT-GT akan turut memberi nilai tambah kepada pertumbuhan ekonomi negeri.