30 peratus kutipan zakat dikembalikan kepada sekolah

Halidan (kiri) beramah mesra bersama guru besar dan pengetua selepas majlis pelancaran skim wakalah zakat bersama majlis guru besar dan pengetua sekolah menengah daerah Kuantan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada Isnin.
Halidan (kiri) beramah mesra bersama guru besar dan pengetua selepas majlis pelancaran skim wakalah zakat bersama majlis guru besar dan pengetua sekolah menengah daerah Kuantan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN – Sebanyak 30 peratus daripada hasil kutipan zakat menerusi skim wakalah zakat guru-guru di Pahang akan dikembalikan semula kepada sekolah berkenaan.

Pengurus Besar Kanan Zakat dan Wakaf Pahang, Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZP), Datuk Halidan Md Daud berkata, pihak sekolah akan mengagihkan zakat itu kepada golongan asnaf di kawasan masing-masing.

Katanya, pengembalian wang zakat kepada sekolah yang layak akan dibuat setiap enam bulan sekali.

"Setakat ini, hanya sebuah sekolah daripada 741 sekolah di Pahang layak dan sudah mencapai potongan zakat 90 peratus daripada bilangan kakitangan manakala selebihnya baru melepasi 70 hingga 80 peratus.

"Jadi, kita harapkan semua sekolah di Pahang berusaha untuk melepasi 90 peratus bagi membolehkan mereka menerima pulangan balik daripada pembayaran zakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas berakhirnya majlis pelancaran skim wakalah zakat bersama majlis guru besar dan pengetua sekolah menengah daerah Kuantan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) pada Isnin.

Di Pahang, terdapat 198 sekolah menengah dan 543 sekolah rendah yang layak menyertai skim wakalah zakat diperkenalkan itu.

Halidan memberitahu, pihak pengurusan sekolah tidak perlu lagi mengharapkan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk menjalankan aktiviti kebajikan sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai program seperti motivasi, kerohanian dan membantu pelajar asnaf menerusi pulangan daripada skim ini," ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Daerah Kuantan, Azhar Daud berkata, semua pengetua sekolah menengah di daerah ini menyambut baik pelaksanaan skim yang sedang dilakukan pihak PKZP.

Katanya, langkah ini membantu pihak sekolah mendapat dana dengan cara mudah iaitu melalui pembayaran zakat dan ia boleh digunakan untuk kebaikan pihak sekolah.

"Sebelum ini, kita tidak sedar pulangan yang akan diperoleh tetapi selepas diberikan pendedahan, pihak sekolah akan cuba mencapai sasaran 90 peratus bagi memperoleh manfaat daripada skim terbabit," ujarnya.