Pekebun didakwa bunuh rakan

Alphonsus dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga rakannya, dua minggu lalu.
Alphonsus dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga rakannya, dua minggu lalu.
A
A
A

IPOH - Seorang pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang juga rakannya, dua minggu lalu.

S Alphonsus, 40, didakwa membunuh R Ravindran, 35, dengan menggunakan pisau di Jalan Persiaran Jelapang 18, Taman Silibin, Ipoh antara jam 1 hingga 2 pagi pada 4 November lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.

Sementara itu di mahkamah sama, Alphonsus mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis methamphetamine ketika pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atasnya dibuat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh jam lebih kurang 11 malam pada 6 November lepas.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara sehingga dua tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatimah Hannah Abd Wahab manakala tertuduh diwakili Peguam JK Kala.

Artikel Berkaitan:

Semasa prosiding kes, Fatimah memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh sebutan semula untuk laporan bedah siasat dan patologi.

Mahkamah kemudian menetapkan 9 Februari 2022 untuk sebutan kedua-dua kes itu.

Tertuduh yang berbaju T berwarna hitam sempat menunjukkan isyarat jari tengah kepada petugas media ketika dibawa masuk ke pekarangan mahkamah sekitar jam 10.13 pagi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam di bahagian dada.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku pertengkaran membabitkan mangsa bersama sekumpulan lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut ditikam, bertengkar ketika mabuk