Seorang maut, teksi meletup di Liverpool

Anggota-anggota perkhidmatan kecemasan mengawal di luar sebuah hospital wanita selepas sebuah teksi meletup di Liverpool pada Ahad. - Foto AP/PA
Anggota-anggota perkhidmatan kecemasan mengawal di luar sebuah hospital wanita selepas sebuah teksi meletup di Liverpool pada Ahad. - Foto AP/PA
A
A
A

LONDON - Seorang maut manakala seorang lagi cedera apabila sebuah teksi meletup di hadapan sebuah hospital wanita di Liverpool pada Ahad, kata polis Britain.

Berikutan kejadian itu, polis berjaya menangkap tiga lelaki yang berumur 21, 26 dan 29 tahun di daerah Kensington, Liverpool di bawah undang-undang antikeganasan, kata polis Greater Manchester menerusi satu ciapan di Twitter.

Identiti lelaki yang meninggal dunia itu masih belum dikenal pasti.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki yang cedera dalam kejadian itu ialah pemandu teksi tersebut tetapi kini keadaannya stabil selepas mendapat rawatan di hospital.

Sementara itu, Polis Merseyside yang mengendalikan kes-kes di Liverpool menyatakan dalam satu kenyataan bahawa letupan tersebut masih belum dikategorikan sebagai insiden keganasan.

"Sehingga kini kami memahami bahawa sebuah kereta terlibat iaitu sebuah teksi yang keluar dari hospital itu sejurus sebelum letupan berlaku," kata Polis Merseyside.

Menurut Ketua Jabatan Bomba Merseyside, seorang lagi individu berjaya keluar dari teksi tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: