Hukuman setimpal terhadap pemandu van sekolah tanpa permit

Laporan Sinar Harian mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut apabila dilanggar van sekolah yang dinaikinya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Jumaat. Gambar kanan : R Thiagarajan.
Laporan Sinar Harian mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut apabila dilanggar van sekolah yang dinaikinya dalam kejadian di hadapan sebuah tadika di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini pada Jumaat. Gambar kanan : R Thiagarajan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) mahu hukuman setimpal dikenakan terhadap pemandu van yang melanggar kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada Jumaat.

Presiden SGBM, R Thiagarajan berkata, pihaknya tidak berpuas hati suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu sedangkan pemandu van itu melakukan kesalahan besar sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

Malah katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas (PMPPB) Johor, pemandu van berkenaan dipercayai tiada permit van sekolah dan kesalahan yang dilakukan adalah jelas disebabkan kecuaian.

"Sepatutnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung lesen pemandu berkenaan dan tindakan dikenakan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana membawa murid tanpa permit sah.

"Lebih menyedihkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hanya mengucapkan takziah dalam Facebook beliau atas kejadian itu, sepatutnya boleh mengarahkan JPJ atau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengambil tindakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan pemandu van berusia 31 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari Jumaat, mangsa yang baru pulang dari sebuah sekolah kebangsaan dihantar ke tadika tersebut sebelum pergi ke kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA).

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke unit kecemasan Nilai Medical Centre sebelum disahkan meninggal dunia sekitar jam 2.30 petang semasa menerima rawatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Thiagarajan berkata, pemandu van sekolah tidak berdaftar tidak dilatih sepertimana pemandu van sekolah berdaftar terutama melibatkan aspek keselamatan murid dalam menghindari kecelakaan atau kemalangan.

"Sebagai contoh, pemandu van sekolah dilatih untuk berhenti di depan rumah murid dalam keadaan pintu terbuka di hadapan rumah sehingga memastikan mereka sampai ke pintu rumah. Pemandu tidak boleh berhenti untuk menurunkan murid di seberang jalan rumah," katanya.

Beliau mempersoalkan pihak pengurusan sekolah yang masih membenarkan van tanpa permit sah beroperasi sedangkan tahu kesan dan bahayanya.

"Saya lihat van tanpa permit boleh ambil murid sampai dalam kawasan sekolah, apa tindakan pihak pengurusan sekolah bila nampak perkara ini? SGBM juga ingin bertanya kenapa tiada penguatkuasaan dilakukan JPJ," soalnya.

Thiagarajan mendakwa, isu van sekolah haram atau tanpa permit sudah berlarutan lebih 30 tahun lalu tetapi sehingga kini masih berleluasa sekali gus merugikan pihak pengusaha van sekolah yang sah dan berdaftar.

ARTIKEL BERKAITAN:Budak tujuh tahun maut dilanggar van sekolah

ARTIKEL BERKAITAN:Pemandu disyaki tiada permit van sekolah