Queenie Ting letak penanda aras baharu lempar cakera wanita

Queenie Ting bersama Mohamad Ali.
Queenie Ting bersama Mohamad Ali.
A
A
A

ATLET muda Queenie Ting Kung Ni menetapkan penanda aras baharu dalam acara lempar cakera negara apabila menjadi atlet wanita pertama Malaysia melakukan lemparan melepasi 50 meter (m).

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2019 itu berjaya mencatat lemparan sejauh 50.67m pada Malaysian Track & Field Trials di Stadium MSN Bukit Jalil pada Ahad, untuk memperbaharui rekod lamanya dengan peningkatan 2.11m.

Queenie yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-24 pada Selasa ini, sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan dengan lemparan 48.56m ketika Grand Prix Malaysia pada April lepas.

Kejayaan berkenaan membantu Queenie muncul juara acara itu mengatasi dua atlet senior Choo Kang Ni (45.25m) dan Yap Jen Tzan (40.60m).

Jurulatihnya, Mohamad Ali Hamid yang berpuas hati dengan pencapaian itu berkata, prestasi atlet berkenaan berada di landasan tepat mengikut sasaran ditetapkan bagi memburu kelayakan secara merit ke Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

“Kami memang menyasarkan beliau melakukan lemparan sekitar 50 hingga 51m berdasarkan peningkatan prestasinya. Beliau berpeluang untuk pergi lebih jauh mengambil kira umur dan potensi yang dimilikinya.

“Had kelayakan ke Sukan Asia sebelum ini sekitar 51m (kedudukan enam teratas berbanding edisi terdahulu) tetapi bagi temasya kali ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) meningkatkan had ke kedudukan lima atau empat teratas berbanding edisi sebelum, iaitu hampir 55m,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang yakin anak buahnya mampu melayakkan diri ke Sukan Asia 2022 secara merit berkata, Queenie seterusnya akan menyertai kejohanan tertutup KOM pada bulan depan, selain dijangka menyertai beberapa kejohanan anjuran persatuan negeri bermula Januari depan.

Artikel Berkaitan:

Pelbagai kejohanan itu adalah sebahagian daripada persediaan ke Sukan SEA Hanoi yang dijangka diadakan pada Mei tahun depan. - Bernama