Ahmad Maslan bidas dakwaan Wan Saiful

Ahmad ketika dalam program Menjawab Isu Edisi Khas melalui siaran di Facebook UMNO Online pada Ahad
Ahmad ketika dalam program Menjawab Isu Edisi Khas melalui siaran di Facebook UMNO Online pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan membidas dakwaan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terjadi susulan pertelingkahan antara sesama pihak dalam Barisan Nasional (BN) terutamanya bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan.

Ahmad berkata, tindakan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dipercayai kerana ditawarkan jawatan sebagai Ketua Menteri atau Exco oleh pihak lain.

“Kalau bukan kerana ada tawaran daripada pihak di sana, mereka takkan keluar. Mesti ditawarkan (jawatan) Ketua Menteri, atau jawatan Exco bagi ADUN yang belum menjadi Exco.

“Saya tahu, saya dengar cerita, saya pergi ke Pantai Kundor semua ini.

“Dia beritahu pada seseorang bahawa dia akan dapat (jawatan) Exco Kanan. Ini bukan kerana kita tetapi kerana tawaran daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam program Menjawab Isu Edisi Khas melalui siaran di Facebook UMNO Online pada Ahad.

Pada Khamis, Wan Saiful mendakwa PRN Melaka terjadi berikutan pertelingkahan antara pihak yang sama dan sekali gus mengheret rakyat dalam kesusahan dan penderitaan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenakan prosedur operasi standard (SOP) pada negeri itu.

Pada 4 Oktober lalu, empat ADUN kerajaan Melaka mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Mereka ialah Idris (BN-Sungai Udang), Nor Azman (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).